'Kenyataan Kit Siang sepatutnya sedarkan parti politik Melayu' - Noh Omar

Iklan
Tangkap layar video Noh Omar di Facebooknya pada Isnin.

SHAH ALAM - Kenyataan tokoh veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang yang membangkitkan isu 'kaum bukan Melayu boleh dilantik menjadi Perdana Menteri' sepatutnya memberikan kesedaran buat parti politik berteraskan Melayu di negara ini.

Bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, kenyataan itu dianggap bukan isu sensitif tetapi boleh dijadikan peringatan kepada orang Melayu supaya tidak berpecah belah atau bertelagah sesama sendiri kerana dikhuatiri akhirnya kaum bukan Melayu yang menjadi Perdana Menteri.

Iklan
Iklan

Malah menurutnya, pemimpin UMNO perlu diingatkan sekiranya tersalah langkah dalam konteks kerjasama itu, maka tidak mustahil perkara yang dikatakan Kit Siang akan benar-benar berlaku.

"Semasa saya jadi ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dulu, saya memang tak setuju dan dah nampak mana-mana parti yang bekerjasama dengan DAP akhirnya akan tinggalkannya.

Iklan

"Kita ingat nasib Semangat 46 kerjasama dengan DAP, habis dan tak kemana-mana, kemudian Pas juga tinggalkan DAP. Jadi, sekarang ini giliran UMNO yang jadi penyokong kuat DAP,” katanya menerusi hantaran video berdurasi lima minit 40 saat di Facebooknya pada Isnin.

Beliau berkata demikian mengulas artikel Sinar Harian mengenai Setiausaha Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub yang mempersoalkan niat sebenar Kit Siang mengeluarkan kenyataan sedemikian di saat UMNO kini berdepan waktu sukar selepas ditolak pengundi Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.

Iklan

Jelasnya, Kit Siang tidak patut membangkitkan isu terbabit dengan berlandaskan Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan semata-mata.

Noh yang juga bekas ahli Parlimen Tanjung Karang memaklumkan, sememangnya tiada mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa hanya orang Melayu boleh menjadi Perdana Menteri.

Tambah beliau, peruntukan berkenaan memberitahu bahawa seseorang itu perlu mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat atau diperkenankan oleh Yang Dipertuan Agong.

Namun, jelasnya, walaupun tidak tertulis perkara sedemikian dalam Perlembagaan Persekutuan, pemilihan kaum Melayu sebagai Perdana Menteri perlu dikekalkan dan diwarisi sampai bila-bila.

"Kita semua kena wujudkan perpaduan kaum Melayu dan berharap tiada mana-mana parti yang sanggup jadi ‘si kitol’ atau alat kepada DAP.

"Saya harap kesemua pemimpin UMNO fikirkan masa depan orang Melayu dan mestilah kembali kepada perjuangan asal parti, bukannya perjuangan bersama UMNO-DAP,” ujarnya.