'Hormat institusi Parlimen, hadir jawab soalan sidang Dewan Negara'

Iklan
Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika mempengerusikan Sidang Dewan Negara di Bangunan Parlimen pada Isnin. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Isnin mengingatkan ahli Jemaah Menteri supaya menghormati institusi Parlimen dengan hadir menjawab soalan yang dikemukakan kepada kementerian yang diwakili.

Beliau berkata, Dewan Negara harus dihormati dan kehadiran seseorang menteri sangat penting dalam menjelaskan sesuatu persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Negara.

Iklan
Iklan

"Saya memperingatkan, kalau Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) boleh datang, kedua-kedua Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof) boleh datang (ke sidang Dewan Negara), takkan menteri tak boleh datang?

"Tak kan lah tempat ini rendah sangat untuk menteri datang. Ini dewan tertinggi Parlimen,” kata beliau semasa Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan sedang menjawab pertanyaan pada sesi jawab lisan di Dewan Negara di sini pada Isnin

Iklan

Terdahulu, Ahli Dewan Negara, Amir Md Ghazali ketika mengemukakan soalan tambahan meminta penjelasan mengenai kedudukan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing yang beliau dakwa tidak pernah hadir menjawab soalan sejak lebih lapan bulan beliau berada di Dewan Negara.

Wan Junaidi turut menegur Khairul Firdaus yang tidak menjawab soalan sebagaimana yang diajukan kepada kementerian itu.

Iklan

"Yang Berhormat (Khairul Firdaus) jawab banyak pasal hal produk pelancongan (sahaja), yang ditanya di (sidang) ini adalah sikap pemain industri (dan) bukan produk (sahaja)... harap kementerian (Pelancongan, Seni dan Budaya) buat betul-betul jawapan itu,” katanya. - Bernama