GEORGE TOWN - Kerajaan negeri akan memastikan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menyambung semula bekalan air kepada lebih 50 peratus pengguna termasuk sektor perindustrian di negeri ini dalam tempoh 72 jam.
Ia susulan kira-kira 590,000 penduduk Pulau Pinang dijangka berdepan gangguan bekalan air berjadual selama empat hari bagi memberi laluan kepada kerja pembaikan di Loji Rawatan (LRA) Sungai Dua bermula 10 hingga 14 Januari depan.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri telah mengarahkan PBAPP untuk merancang dan menyelaras pemulihan perkhidmatan bekalan air yang lebih pantas berikutan gangguan bekalan air berjadual pada Januari depan.
Kon Yeow berkata, pasukan PBAPP merancang untuk memulihkan perkhidmatan bekalan air secara beransur-ansur untuk 590,000 pengguna terjejas secara berperingkat dalam jangka masa antara 48 jam hingga 96 jam.
"Matlamat keseluruhan adalah untuk memastikan majoriti atau lebih daripada 50 peratus pengguna terjejas mendapat bekalan air dalam tempoh 72 jam.
"Saya telah memberitahu PBAPP untuk melakukan yang terbaik dalam mengurangkan kesulitan rakyat dan sektor perniagaan di Pulau Pinang.
"Saya juga telah meminta PBAPP mendapatkan semula bekalan air untuk pengguna bukan domestik terutamanya di Batu Kawan, Bukit Minyak, Butterworth, Perai, George Town dan Kawasan Perindustrian Bebas (FTZ) Bayan Lepas dalam jangka masa yang sesingkat mungkin," katanya pada sidang akhbar di Komtar di sini pada Isnin.
Tambah Kon Yeow, dalam tempoh gangguan bekalan air itu, PBAPP akan menempatkan 55 lori tangki air untuk mengangkut air mengikut jadual ditetapkan kepada pengguna yang terjejas.
"PBAPP juga akan mendapatkan bantuan operator air dari negeri lain untuk menghantar lebih banyak lori tangki air ke Pulau Pinang.
"Sebanyak 60 tangki air statik juga akan dipasang di kawasan sasaran bagi membantu memenuhi keperluan air pengguna.
"Memandangkan PBAPP kini merancang untuk mendapatkan semula bekalan air secara berperingkat, pelan penempatan keseluruhan lori tangki air di Pulau Pinang akan dikonfigurasikan semula hari demi hari mulai 10 Januari.
"Selepas semakin banyak kawasan menerima bekalan air, PBAPP akan bergerak dan menempatkan semula lori tangki air ke kawasan yang masih tiada bekalan air," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, K Pathmanathan berkata, tujuan pengumuman mengenai gangguan bekalan air itu dibuat sebulan lebih awal adalah bagi memastikan semua pengguna termasuk sektor perindustrian membuat persediaan lebih awal.
Menurutnya, jika mengikut prosedur operasi standard (SOP) perindustrian, mereka perlu mempunyai 48 jam simpanan bekalan air untuk digunakan ketika kecemasan.
"Adalah menjadi keperluan pihak pemilik kilang untuk memastikan mereka menyimpan air untuk kegunaan selama 48 jam.
"PBAPP mengambil insiatif membuat hebahan mengenai gangguan bekalan air ini dengan lebih awal agar semua pihak termasuk industri perkilangan bersedia dengan menyimpan air dengan lebih banyak (lebih 48 jam) bagi kegunaan mereka.
"Sekiranya pihak kilang membantu kita dengan menggunakan air yang disimpan sendiri, proses pemulihan bekalan akan berlaku dengan lebih cepat," katanya.
Sebelum ini, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari mengumumkan sebanyak 590,000 akaun pengguna PBAPP bakal mengalami gangguan bekalan air berjadual pada Januari 2024.
Gangguan akan bermula pada jam 6 pagi 10 Januari dan dijangka pulih sepenuhnya pada jam 6 pagi 14 Januari nanti.
Kawasan yang terjejas termasuk majoriti di kawasan Seberang Perai manakala di bahagian pulau ialah Pulau Tikus, George Town, Jelutong, Gelugor, Bukit Jambul, Relau, Bayan Lepas, Bayan Baru, Batu Maung, Teluk Kumbar dan Balik Pulau.
Bagaimanapun, kawasan Air Itam, Tanjung Bungah, Batu Ferringhi dan Teluk Bahang tidak terjejas kerana kawasan tersebut mendapat bekalan air dari Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang.