Cincin RM3.7 juta hilang ditemui dalam pembersih hampagas

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Isnin.

PARIS - Sebentuk cincin berlian milik seorang usahawan wanita dari Malaysia yang dilaporkan dicuri dalam sebuah hotel mewah di Perancis, berjaya ditemui semula dalam pembersih hampagas.

Menurut laporan akhbar Perancis, Le Parisien, cincin bernilai AS$800,000 (RM3.73 juta) didapati lesap semasa wanita itu menginap di hotel The Ritz Paris.

Iklan
Iklan

The Ritz Paris berkata, pihaknya berjaya menemui barangan kemas itu pada 10 Disember lalu dalam bilik tetamunya selepas dua hari dilaporkan hilang.

Semasa kejadian, wanita yang tidak didedahkan namanya melakukan rombongan membeli-belah di sekitar Place Vendome pada Jumaat.

Iklan

Bagaimanapun, selepas kembali ke bilik penginapannya, cincin diletakkan atas katil telah hilang.

Hotel itu ketika mengumumkan penemuan itu turut mengucapkan terima kasih kepada ejen keselamatannya yang mencari cincin tersebut.

Iklan

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada kakitangan di Ritz Paris yang menggerakkan pencarian ini dan yang bekerja setiap hari dengan integriti dan profesionalisme," kata Ritz kepada Le Parisien.

Difahamkan ahli perniagaan itu meninggalkan Paris dan menuju ke London pada 9 Disember lalu.

Akhbar itu menambah, wanita tersebut dijangka kembali ke ibu negara Perancis untuk mengambil cincinnya, yang kini berada di bawah simpanan polis.

Tambahnya, pihak hotel menawarkan penginapan tiga malam sebagai pampasan kepada wanita itu.

Kecurian barang kemas di Paris bukanlah sesuatu yang luar biasa.

Pada September 2018, seorang ahli keluarga diraja Arab Saudi melaporkan rompakan di The Ritz Paris, di mana dia mendakwa lebih daripada $900,000 (RM4.2 juta) barang kemas telah dirompak.

Sebelum itu, pada 2016, perompak menahan selebriti Kim Kardashian dengan mengacukan senjata semasa dia menginap di Hotel No Address yang berdekatan.

Antara barang yang diambil ialah cincin pertunangan berlian 20 karat potongan zamrud dan sehingga kini ia tidak pernah ditemukan. - Agensi