KUALA PILAH - Seorang penternak di Kampung Beting Tengah di sini melahirkan rasa bimbang apabila ternakan kambingnya dipercayai menjadi sasaran harimau kumbang.
Mohamad Daud Abd Rashid, 65, yang juga pesara polis mendakwa, dalam kejadian terbaharu, beliau mengalami kerugian apabila seekor kambing betina miliknya dibaham haiwan tersebut pada Ahad.
Menurutnya, kejadian yang berlaku itu merupakan kali ketiga dialaminya dengan kejadian pertama pada Jun lalu apabila dua ekor kambingnya menjadi mangsa harimau kumbang.
"Saya menternak kambing ini semuanya ada berbelas ekor, namun semakin berkurangan.
"Ada yang disembelih dibuat makan dan terkini hanya ada lima ekor sahaja.
"Sekarang tinggal empat ekor apabila ibu kambing seberat 30 kilogram, saya percaya ia menjadi sasaran harimau semalam (Ahad)," katanya ketika ditemui pemberita pada Isnin.
Menceritakan semula kejadian itu, Mohamad Daud berkata, kira-kira jam 11 pagi dia melepaskan ternakannya di kandang sebelum keluar ke Pekan Bahau, Jempol bersama isterinya.
"Saya pulang ke rumah anggaran jam 2 petang dan hanya menyedari seekor kambing telah dibaham harimau pada jam kira-kira jam 6 petang selepas memeriksa ternakan di kawasan kandang.
"Saya tarik kambing dari bawah zink dekat lokasi dengan harapan saya dapat lihat binatang apa yang membunuhnya dari kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang berhampiran kandang sekiranya haiwan tersebut datang kembali, namun tidak kelihatan, sebaliknya kambing saya terus lesap.
"Jiran hadapan rumah ada maklumkan terdengar bunyi bising, bagaimanapun tidak memeriksanya dan tidak menyangka kambing sendiri menjadi mangsa," katanya.
Beliau turu dimaklumkan bahawa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) akan memasang perangkap pada petang Selasa.
Dalam pada itu, Mohamad Daud turut berharap insiden seperti itu tidak berulang tambahan apabila kejadian itu berlaku pada waktu siang hari berbanding kejadian sama di kampung pada waktu malam.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan tiga ekor harimau kumbang telah masuk perangkap dalam tempoh kurang sebulan dalam kejadian pada September lalu di Kampung Beting Ulu di sini.