TUMPAT - Seorang nenek berusia 112 tahun hanya berseloroh mahu berkahwin lagi walaupun pernah bernikah sebanyak tujuh kali sebelum ini.
Siti Hawa Hussin berkata, apa yang diucapkannya itu sekadar gurauan sahaja.
"Saya lebih selesa untuk menghabiskan sisa-sisa hidup begini.
"Lagipun saya mempunyai masalah penglihatan, pendengaran sedikit merosot selain perlu mengambil ubat darah tinggi," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kampung Kajang Sebidang di sini pada Isnin.
Sebelum ini, beberapa portal berita melaporkan Siti Hawa tidak menolak untuk kembali mendirikan rumah tangga sekiranya ada pihak yang mahu melamarnya.
Wanita itu dilaporkan berkata, bekas suaminya ada yang meninggal dunia dan ada yang bercerai kerana tidak sehaluan.
Menurut Siti Hawa, hasil tujuh perkahwinan dia dikurniakan lima orang anak yang masing-masing berusia 58 hingga 65 tahun.
Ujarnya, dua daripada mereka sudah meninggal dunia.
Tambah Siti Hawa, selain itu dia mempunyai 19 cucu dan 30 cicit.
"Walaupun kudrat tidak segagah dahulu, namun saya masih mampu menguruskan diri sendiri dan tetap menunaikan solat," katanya.
Berkongsi rahsia umur panjang, Siti Hawa memberitahu, berzikir merupakan salah satu petua yang diamalkan.
Selain itu, makan tidak bersulam air turut menjadi rahsia Siti Hawa terus kekal sihat.
"Saya pun tidak sangka akan hidup sampai usia sebegini sedangkan adik-beradik dan rakan-rakan lain sudah dijemput Ilahi," ujarnya.