Godam data PERKESO: KSM ambil langkah pastikan tidak berulang

Iklan
V Sivakumar

KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Manusia telah mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan masalah serangan siber yang menyasarkan infrastruktur Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) tidak berulang pada masa akan datang.

Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar berkata, tindakan susulan juga akan diambil sejurus dalang yang bertanggungjawab menyerang sistem, pangkalan maklumat dan laman sesawang PERKESO sejak awal bulan ini dikenal pasti.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, setakat ini, masalah itu dalam keadaan terkawal dan operasi harian PERKESO berjalan lancar seperti biasa termasuk proses pembayaran pampasan dan faedah kepada penerima yang layak selain pemprosesan permohonan baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed sebelum ini berkata, siasatan forensik termasuk dakwaan pembabitan pihak tertentu di sebalik serangan siber terhadap PERKESO sedang giat dijalankan.

Iklan

Sivakumar juga berkata, pihaknya bersama Kementerian Ekonomi dan beberapa kementerian lain sedang memperinci pelaksanaan Dasar Gaji Progresif yang dijangka mula diperkenal pada separuh pertama 2024.

"Tahun hadapan kita akan membawa satu pendekatan baharu iaitu berkaitan gaji progresif... Kertas Putih Gaji Progresif telah dibentangkan di Parlimen dan pelaksanaannya sedang diperinci.

Iklan

"Selain itu, kementerian sedang berusaha memerangi isu buruh paksa. Kita sedar ramai pekerja terabai seperti yang dilaporkan oleh media, jadi tahun hadapan Jabatan Tenaga Kerja akan lebih tegas dan aktif dalam menjalankan banyak operasi di seluruh negara bagi membendung isu ini,” katanya.

Beliau berkata, pada 2024 juga, Kementerian Sumber Manusia akan merangka satu dasar khusus untuk kebajikan pekerja ekonomi gig yang semakin berkembang sejak kebelakangan ini bagi mengelakkan mereka ditindas dan diambil kesempatan oleh mana-mana majikan. - Bernama.