IPOH - Penceramah luar masih tidak dibenarkan untuk mengajar di masjid atau surau berdaftar di Perak meskipun telah mendapat tauliah.
Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Harith Fadzilah Abd Halim berkata, ia berikutan garis panduan baharu masih diperhalusi untuk dimuktamadkan.
Menurutnya, biarpun baru-baru ini Jabatan Mufti Perak telah menyampaikan tauliah kepada penceramah, namun mereka masih tidak dibenarkan berceramah di negeri ini.
"Mungkin kita tak perasan tapi kegiatan itu sedang berjalan. Kita nak jaga supaya ajaran itu tak masuk dalam masjid dan surau kita," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Anak Yatim di Kolej Antarabangsa Taj (TIC) di sini pada Isnin.
Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Eksekutif TIC, Tina Tajuddin.
Sementara itu, Harith Fadzilah berkata, semua masjid dan surau di Perak akan meneruskan bacaan doa Qunut Nazilah dalam setiap solat fardu.
Menurutnya, tiada masalah untuk mana-mana masjid atau surau meneruskannya.
"Sebenarnya kalau kita teruskan (bacaan Qunut Nazilah) pun tak ada masalah selagi mana sahabat-sahabat kita di Gaza tak selesai lagi.
"Kita teruskan berdoa, kita panjatkan doa kita buat Qunut Nazilah di setiap sembahyang fardu di rakaat terakhir solat fardu," katanya.
Pada 23 Ogos lalu, JAIPk mengumumkan penangguhan sesi mengajar dan bersyarah oleh semua penceramah agama termasuk dari luar negara berkuat kuasa serta-merta pada Rabu.
Penangguhan dilakukan membabitkan semua masjid, surau diri Jumaat dan surau yang berdaftar dengan jabatan itu.
Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perak ketika ini sedang membuat penambahbaikan terhadap garis panduan permohonan penceramah dan pengajar sebagai usaha penyusunan semula konsep dakwah agar selari dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Aliran Asyairah dan Maturidiah.
Ketetapan tersebut bagaimanapun dikecualikan ke atas individu sebagaimana di Peraturan 23 (1) (a) hingga (e), (2) dan (3) Peraturan-peraturan Pengawasan Pengajaran dan Syarahan Agama 2013.
Peraturan 23 (1) antara lain menyebut, peraturan-peraturan tersebut tidak terpakai bagi anggota Majlis; mufti mana-mana negeri di Malaysia; pegawai agama; guru agama yang dilantik kerajaan dan mana-mana orang yang pada pendapat Majlis mempunyai kelayakan dan pengalaman yang bersesuaian.