KKD sekat platform media sosial rosakkan moral masyarakat - Fahmi

Iklan
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil ketika menghadiri Sidang Dewan Negara di Parlimen pada Isnin. - Foto Bernama.

KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) secara berterusan melaksanakan tindakan sekatan ke atas platform media sosial dengan kandungan atau paparan yang boleh mempengaruhi, menjejas serta merosakkan moral masyarakat.

Menteri berkenaan Fahmi Fadzil berkata, sekatan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) itu turut melibatkan laman sesawang yang digunakan untuk pelbagai tujuan termasuk mempromosi produk seks serta laman berunsur seks songsang.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, sejumlah 7,097 laman sedemikian telah dikenakan tindakan sekatan bagi tempoh 2018 hingga 30 November lepas dan tindakan serupa akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membendung kes penyalahgunaan media sosial.

"Selain pemantauan terhadap sebarang tindakan atau kandungan yang bercanggah dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), langkah membendung kes sebegitu juga disusuli dengan tindakan penurunan kandungan, penguatkuasaan dan pendakwaan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi kementerian itu di Dewan Negara pada Isnin.

Iklan

Fahmi berkata, dalam usaha menangani penyebaran kandungan lucah di media sosial, MCMC turut menjalin kerjasama dengan platform media sosial seperti Facebook, Instagram, WhatsApp, Telegram dan TikTok.

Beliau berkata, kerjasama itu menyaksikan sejumlah 599 kandungan berunsur lucah diturunkan dalam tempoh awal tahun ini hingga 30 Nov lepas dengan platform Instagram merekodkan jumlah tertinggi iaitu 107, diikuti Facebook (54), Telegram (44), X (18), TikTok (lapan) dan lain-lain (368).

Iklan

Fahmi juga berkata, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sedang dalam usaha mengenal pasti rakan digitalisasi tempatan yang berupaya menyediakan khidmat sokongan serta konsultasi kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Beliau berkata, ia adalah antara usaha menyediakan akses kepada platform dan penyelesaian digital seperti yang diterap dalam pelaksanaan Geran Digital PMKS MADANI (GDPM) yang diperkenal tahun ini.

"MDEC juga sedang berusaha menggalakkan rakan digitalisasi untuk menawarkan teknologi dan penyelesaian digital secara kaedah 'freemium' iaitu PMKS boleh mengguna pakai teknologi serta penyelesaian digital yang asas secara percuma.

"PMKS hanya perlu mengemukakan pembayaran apabila ingin menggunakan penyelesaian tersebut secara sepenuhnya," katanya.

Fahmi berkata, kaedah itu akan membantu PMKS mengenal pasti manfaat teknologi dan penyelesaian digital kepada perniagaan mereka serta mampu meningkatkan lagi tahap penggunaan dalam kalangan mereka.

Berhubung usaha memperbanyak hebahan mengenai inisiatif kerajaan dan penyediaan infografik yang mudah difahami rakyat, beliau berkata KKD antara lain menerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) telah menghasil dan menerbitkan laporan berita selain infografik mengenai program serta bantuan yang disediakan oleh kerajaan kepada rakyat.

Beliau berkata, hebahan juga merangkumi penghasilan berita mengenai perkembangan ekonomi negara, analisis pakar serta forum atau diskusi menerusi pelbagai rancangan televisyen dan radio untuk meningkatkan pemahaman rakyat terhadap isu ekonomi, kos sara hidup, inflasi dan subsidi.

"Kesemua laporan berita, infografik dan program terbabit adalah bersumberkan pihak berautoriti seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta pihak-pihak lain yang berkepentingan," katanya.

Persidangan Dewan Negara bersambung esok. - Bernama.