KUANTAN - Harga mentah hasil laut di sekitar daerah ini didapati meningkat antara RM1 hingga RM8 sekilogram sejak dua minggu lalu.
Rata-rata peniaga mendakwa kenaikan harga itu membabitkan sotong, ketam, udang dan beberapa jenis ikan seperti kembung, selar kuning, tongkol serta selayang.
Tinjauan Sinar Harian di beberapa pasar basah mendapati, harga sotong dan ketam bunga bersaiz kecil mencecah RM40 sekilogram (kg) berbanding kira-kira RM32 sekilogram sebelum ini.
Udang laut kini berharga RM18 berbanding RM16 sekilogram tetapi udang mengalami penurunan harga apabila dijual antara RM26 hingga RM28 sekilogram.
Ikan kembung pula dijual pada harga kira-kira RM18 sekilogram berbanding RM16 sekilogram manakala ikan selar mencecah RM17 sekilogram berbanding RM12 sekilogram.
Tinjauan juga mendapati, ikan selayang dijual pada harga kira-kira RM8 sekilogram berbanding RM7 sekilogram dan ikan tongkol meningkat RM2 menjadikannya RM12 sekilogram.
Peniaga sotong, Anuar Anas, 48, berkata, bekalan hasil laut terutama sotong berkurangan 50 peratus menyebabkan harga di pasar meningkat.
Katanya, kekurangan bekalan sotong paling ketara sejak seminggu lalu menyebabkan pembekal terpaksa menawarkan harga lebih tinggi.
"Dalam keadaan hasil tidak berapa banyak, kita kena naikkan harga. Macam hari ini saya jual sotong bersaiz kecil pada RM20 hingga RM22 sekilogram berbanding RM18 sebelum ini. Kalau sotong bersaiz besar iaitu gred A, harga boleh cecah RM40 hingga RM45 sekilogram.
"Walaupun harga tinggi, namun pembeli tidak mempersoalkan mengenai kenaikan kerana memahami kesukaran mendapatkan bekalan ketika musim tengkujuh,” katanya yang ditemui di Pasar Besar Kuantan pada Isnin.
Sementara itu, peniaga udang, Khamarul Zaman Awang, 26, berkata, sejak dua minggu kebelakangan ini, harga hasil laut tidak menentu.
Ujarnya, minggu ini berlaku peningkatan RM1 bagi udang laut berbanding minggu lalu.
"Tapi untuk harga udang ternak turun RM2 daripada RM30 sekilogram. Jadi, turun naik harga hasil laut ini perkara biasa,” katanya.
Sementara itu di Terengganu, peniaga ikan sekitar daerah ini mendakwa terpaksa menaikkan harga sotong dan pelbagai jenis ikan bersaiz besar susulan bekalan terhadap hasil laut itu semakin berkurangan.
Menurut Mazlan Awang, 61, keadaan laut bergelora mengehadkan aktiviti nelayan, sekali gus menyebabkan hasil tangkapan menurun.
"Hari-hari biasa dan ketika bukan musim tengkujuh, kita jual sotong bersaiz kecil sekitar RM20 untuk satu kilogram (kg).
"Pada musim tengkujuh, bekalan hasil laut kurang maka terpaksa jual pada harga RM26 sekilogram.
"Sotong saiz sederhana pula dijual pada harga RM32 sekilogram berbanding RM25 hingga RM25 sebelum ini, manakala sotong saiz besar berharga RM43 berbanding RM32 hingga RM33 sekilogram,” katanya ketika ditemui di Pasar Payang, Kuala Terengganu.
Mazlan berkata, kenaikan harga tidak dapat dielakkan berikutan modal mendapatkan bekalan hasil laut berkenaan agak tinggi.
Tinjauan Sinar Harian di Pasar Payang mendapati, harga pelbagai jenis ikan bersaiz kecil termasuk ikan selar, selayang dan tongkol masih dijual pada harga berpatutan iaitu di bawah RM10 bagi satu hingga dua kg.
Bagaimanapun, harga ikan bersaiz sedang dan besar meningkat sehingga RM8 berikutan Monsun Timur Laut (MTL).
Peniaga, Mohd Aidil Ali, 22, berkata, harga ikan dijual agak mahal disebabkan bekalan semakin berkurangan di pasaran.
"Ikan besar ini kebanyakan ditangkap di laut dalam dan ramai nelayan tak turun ke laut disebabkan ombak kuat.
"Jadi kami jual apa yang nelayan tangkap dan bekalan ikan saiz besar sangat terhad.
"Berbeza pula ikan bersaiz kecil apabila bekalannya masih banyak diperoleh berbanding hasil tangkapan ikan bersaiz besar.
"Apabila bekalan ikan bersaiz besar sukar diperoleh maka peniaga terpaksa menaikkan harga bagi menampung kos di peringkat pembekal,” jelasnya.
Sementara itu, pelancong dari Kuala Lumpur, Mariah Ahmad, 40, mengakui harga ikan dan sotong segar dijual di pasar berkenaan masih murah berbanding di luar Terengganu.
"Sebelum bergerak pulang ke ibu negara, saya singgah dahulu beli ikan segar di sini yang sedikit murah berbanding tempat lain.
"Sememangnya kita dapati harga ikan agak mahal buat masa ini. Jadi harap perkara ini dapat diselesaikan memandangkan hasil laut adalah makanan kegemaran kami sekeluarga,” jelasnya.
Berbeza pula di Kelantan apabila bekalan ikan dan sotong tidak terjejas selain harga juga masih kekal berpatutan walaupun masih dalam tempoh MTL.
Tinjauan Sinar Harian di beberapa pasar sekitar Kota Bharu, mendapati bekalan ikan tempatan masih banyak dan mencukupi bagi menampung keperluan orang ramai termasuk dijual pada harga munasabah.
Pemborong dan peruncit ikan, Kamaruddin Mohamad, 58, berkata, bekalan ikan diterimanya masih banyak berikutan nelayan masih dapat turun ke laut.
Katanya, disebabkan bekalan stabil, harga ikan dan sotong kekal dijual dengan harga sama sejak beberapa bulan lalu.
"Harga ikan kembung dijual antara RM12 hingga RM14 sekilogram, selar (RM12), selayang dan kerisi (RM10) diikuti tongkol antara RM9 hingga RM12 sekilogram manakala sotong berharga RM25 hingga RM28 sekilogram.
"Cuaca hujan dua minggu lalu sahaja dan minggu ini tidak hujan, jadi bekalan ikan serta sotong banyak.
"Harga masih kekal tidak naik tetapi kalau ribut dua hari saja, maka harga boleh naik mendadak,” katanya ketika ditemui di pasar RTC Tunjong.