Ikan pelian jinak hasil kaedah tagal

Iklan
Ikan pelian jinak mengerumuni pengunjung yang memberi makan di Tagal Tinopikon, Sungai Moyog Kampung Noturos, Penampang.

PENAMPANG - Tiada siapa menyangka ikan yang hidup bebas di Sungai Moyog di Kampung Notorus, di sini mampu dijinakkan dan datang ‘menyerah diri’ untuk dibelai pengunjung yang datang ke sungai tersebut.

Lebih menariknya, ikan kelah atau lebih dikenali sebagai pelian bagi masyarakat setempat dilihat bersedia memberikan ‘perkhidmatan’ spa percuma kepada pengunjung.

Iklan
Iklan

Penulis sendiri sempat merasai pengalaman apabila dikerumuni ratusan ikan bersaiz sebesar lengan berebut menggigit manja kaki sebaik saja direndam di sungai tersebut.

Taktiknya mudah saja, sediakan makanan ikan di tangan, sudah tentu kumpulan ikan itu segera mengerumuni pengunjung yang berada di batuan sungai.

Iklan

Namun di sebalik pengalaman tersebut, penulis diberitahu terdapat satu sistem yang menyokong supaya hidupan air tawar ini boleh didekati dengan mudah.

Dikenali sebagai sistem tagal, ia merupakan satu peraturan berasaskan adat masyarakat Kadazandusun di Sabah berhubung pemeliharaan sungai bagi mengelak kepupusan ikan air tawar akibat penangkapan yang tidak terkawal.

Iklan

Sungai yang ditagal tidak boleh diambil ikannya melainkan pada musim menuai ikan yang ditetapkan oleh komuniti tagal di perkampungan tersebut.

Bagi Tagal Tinopikon di Sungai Moyog, terdapat amaran telah dipaparkan pada papan tanda sebelum memasuki kawasan tagal tersebut.

Antaranya, pengunjung dilarang menangkap segala hidupan di sungai, dilarang membuang sampah atau mencemarkan sungai.Semua alat digunakan untuk menangkap hidupan air dan hasil tangkapan akan dirampas selain dikenakan denda jika didapati melanggar peraturan itu.

Papan tanda amaran kepada pengunjung yang datang ke Tagal Tinopikon. Gambar kecil: Florinah

Menurut Setiausaha Komuniti Tagal Tinopikon, Florinah Goluis, 51, ikan yang ada di sungai itu telah dijinakkan sejak sistem tagal diperkenalkan di kampung mereka.

Bagaimanapun, katanya, sebahagian kawasan di sungai di kampung itu dijadikan sebagai zon merah iaitu kawasan dilarang untuk aktiviti menangkap ikan.

"Kawasan ini juga dilarang untuk mandi, hanya untuk spa ikan saja. Selain itu kita juga boleh memberi ikan makan tetapi tidak dibenarkan untuk ditangkap.

"Ikan di zon merah tidak dibenarkan untuk diambil kecuali ada masalah kesihatan termasuk ibu hamil yang mengidam atau orang tua yang uzur teringin mahu makan ikan tersebut,” ujarnya.

Sebahagian kawasan Sungai Moyog dijadikan sebagai zon merah iaitu kawasan dilarang untuk aktiviti menangkap ikan.

Tambahnya, jika didapati mengambil ikan tanpa kebenaran, individu tersebut akan didenda yang telah ditetapkan mengikut adat kampung.

"Dendanya, seekor khinzir dan juga wang tunai RM5,000. Setakat ini belum pernah berlaku kerana setiap masa ada penjagaan secara bergilir termasuk pada waktu malam,” jelasnya.


Tagal jadi modul pendidikan

KOTA KINABALU - Bagi memastikan amalan sistem tagal terus dilaksanakan di sungai-sungai di Sabah, tanggungjawab itu tidak hanya terletak di bahu komuniti dan Jabatan Perikanan negeri, sebaliknya turut diperluaskan sehingga ke peringkat universiti.

Modul sistem tagal turut diterapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran bagi pelajar di peringkat sekolah hingga ke universiti.

Ia diakui oleh penyelidik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Dr Jurry Foo yang terlibat membuat penyelidikan mengenai sistem tagal sejak 2009 lagi.

Menurutnya, sistem tagal sungai itu diambil daripada kaedah tagal di hutan yang dilakukan oleh komuniti bagi mengawal pengambilan kayu yang banyak digunakan sebagai bahan bakar.

Katanya lagi, untuk menjaga hidupan akuatik di sungai ia perlu dilakukan menerusi sistem adat ini iaitu larangan penangkapan ikan sesuka hati di sungai.

Jurry

"Ini bagi memastikan pelajar saya memahami apa itu sistem tagal, iaitu sebagai satu kaedah pemuliharaan ekosistem sungai yang popular diterima dan berjaya di Sabah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah Jurry, menerusi penyelidikannya berjaya mengkaji lebih banyak trend pengurusan sistem tagal seperti yang dilaksanakan di Sungai Luanti, Ranau.

"Hasil kajian saya berjaya menghasilkan tiga modul tagal iaitu modul pertama ialah pengajaran dan pembelajaran, kedua modul mengenai kesedaran alam sekitar dan ketiga mengenai penyelidikan.

"Saya mahu modul ini diiktiraf, difahami, dikenali dan menarik minat orang untuk menyokong sistem tagal ini kerana ketika ini tagal sudah terbahagi kepada dua iaitu yang pertama dilakukan secara konvensional dan keduanya sistem tagal pelancongan.

"Jadi kita perlu menyampaikan maklumat berkaitan perkembangan ini supaya orang faham bahawa bukan semua tagal ada pelancongan di mana ada sasarannya sama ada untuk pelancongan atau konvensional dan keduanya pula untuk memelihara ekosistem sungai,” jelasnya.

Sistem tagal merupakan satu kaedah pemuliharaan ekosistem sungai yang diterima komuniti setempat dan berjaya dilaksanakan di Sabah.

Diminta mengulas lanjut mengenai modul mengenai kesedaran alam sekitar, Jurry berkata, sebagai seorang tenaga pengajar dalam subjek Biologi dan Geografi menjadi tugasnya untuk mengajar pelajar bagaimana menguruskan alam sekitar.

"Jadi menerusi sistem tagal ini saya gunakan sebagai kandungan dalam subjek agar menjadi contoh nyata bagaimana untuk menguruskan alam sekitar supaya berjaya dan apa manfaatnya kepada komuniti,” katanya.

Jurry mendedahkan, usaha yang dilaksanakan sejak 10 tahun berhasil apabila inovasi itu diangkat dalam Pameran Inovasi, Penemuan dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2023 dan meraih pingat emas.

"Pembangunan modul ini saya lakukan kerjasama dengan Sekolah Kebangsaan Marakau di Ranau dan saya bawa inovasi ini di peringkat ITEX pada tahun ini dengan mendapat pingat emas,” kongsinya mengenai kejayaan sistem tagal di Sabah.