ʻSogitʼ kerbau atau kambing

Iklan
Sistem tagal merupakan satu kaedah pemuliharaan ekosistem sungai yang diterima komuniti setempat dan berjaya dilaksanakan di Sabah.

TUARAN - Boleh jadi denda yang akan dikenakan kepada pesalah tagal di sungai negeri Sabah ialah seekor kambing ataupun kerbau.

Itulah ‘harga’ yang perlu dibayar bagi sesiapa yang didapati melakukan kesalahan sama ada menceroboh atau merosakkan habitat serta ekosistem sungai yang ditagal di negeri Sabah.

Iklan
Iklan

Denda tersebut turut dikenali sebagai ‘sogit’ bagi masyarakat Dusun bagaimanapun belum pernah dikenakan terhadap mana-mana individu di Kampung Lingga, Kiulu setakat ini.

Pengerusi Tagal Kampung Lingga, Kait Lansangan, 70, memaklumkan, bukan semua komuniti tagal mengenakan nilai denda yang sama.

Iklan
Kait

"Ada sesetengah kawasan seperti di Penampang atau Papar dendanya ialah seekor kerbau. Di Keningau pula kalau kawasan tagal mereka diceroboh juga dikenakan denda seekor kerbau dan ada juga sesetengahnya minta seekor kambing.

"Di kampung ini belum pernah ada sogit dikenakan kerana belum lagi berlaku kejadian seperti itu tetapi denda di sini juga ialah seekor kambing,” katanya ketika ditemui di Sungai Tuaran di Kampung Lingga, Kiulu baru-baru ini.

Iklan

Tambahnya, usaha menjaga kelestarian hidupan di sungai amat diperlukan bukan saja sebagai sumber makanan penduduk tetapi juga sumber air kepada masyarakat setempat.

"Tagal ini diwujudkan kerana dulu aktiviti menangkap ikan ini tidak terkawal dan pernah satu kejadian berlaku di daerah lain apabila kaedah menangkap ikan dilakukan dengan menggunakan renjatan elektrik dan menyebabkan anak ikan yang baru membiak musnah.

"Bukan ikan saja tetapi pelbagai hidupan lain dalam sungai musnah disebabkan sikap tamak manusia yang menggunakan kaedah pantas untuk mendapatkan hasil.

"Malah penggunaan racun untuk mendapatkan ikan juga adalah antara perbuatan yang amat dilarang kerana sungai juga digunakan untuk tujuan tadahan air dan ini amat membahayakan orang ramai,” ujarnya.

Jelas Kait, tagal di kampung mereka kemudian diinovasikan menjadi aktiviti ekopelancongan di mana orang ramai boleh datang berkunjung dan melihat lebih dekat ikan yang ditagal di sungai tersebut.

"Di sini kami menyediakan aktiviti memberi makan kepada ikan yang ditagal dan ada sungai tertentu membenarkan pengunjung ‘bermanja’ dengan ikan yang telah dijinakkan menerusi aktiviti spa ikan,” ulasnya.

Katanya, terdapat pelbagai jenis ikan boleh ditemui sejak sistem tagal dilaksanakan di sungai mereka.

"Antaranya ialah ikan toli, ikan batuan, ikan lumpis, ikan turadan, ikan turongou, ikan tilapia, ikan dakap, belut, ikan sopong dan paling popular ialah ikan pelian atau turut dikenali sebagai ikan kelah,” ujarnya.