GOENAWAN Mohamad bukan sebarangan orang. Beliau adalah wartawan, budayawan dan penyair terkenal Indonesia. Beliau paling diingat sebagai pengasas Tempo, majalah yang sangat kritis terhadap pemerintahan Presiden Suharto.
Begitu besar pengaruh Tempo hingga Suharto pernah mengharamkannya pada tahun 1994. Goenawan bagaimanapun terus menjadi suara penentangan yang lantang terhadap rejim Orde Baru. Suharto tumbang pada tahun 1998.
Sebagai penulis, beliau telah menghasilkan antara lain kumpulan esei Potret Seorang Penyair Sebagai Malim Kundang, Kesusasteraan dan Kekuasaan, Setelah Revolusi Tak Ada Lagi serta Tuhan dan Hal-Hal Yang Tak Selesai.
Antologi puisinya termasuklah Parikesit, Asmaradana dan Misalnya Kita Di Sarajevo. Goenawan juga dikenal kerana pembabitannya dalam Aliansi Jurnalis Independen, Jaringan Islam Liberal dan Komuniti Salihara.
Goenawan sejak awal secara terbuka menyatakan sokongannya terhadap Presiden Joko Widodo (Jokowi). Namun akhir-akhir ini beliau menjadi sangat kritikal terhadap Jokowi.
"Saya dulu memilih Jokowi dan bekerja agar dia menang tetapi kini saya merasa dibodohi,” tulis beliau.
Goenawan tidak berhenti setakat itu. Tidak lama selepas itu, beliau bergabung dengan beberapa tokoh karyawan dan budayawan dalam Majlis Permusyawaratan Rembang.
Mereka berjunjung ke kediaman Kiai Haji Ahmad Mustofa di Leteh, Kecamatan Rembang, Jawa Tengah. Di sanalah mereka membuat kenyataan terbuka menegur pimpinan semasa Indonesia.
Selain Goenawan, yang turut hadir di Rembang adalah Omi Komaria Madjid, Lukman Hakim Saifuddin, Antonius Benny Susetyo dan Erry Riyana Hardjapakemas.
Jurucakap kumpulan itu, Omi Komaria (balu Allahyarham tokoh ilmuan tersohor Nurcholis Madjid) mengatakan mereka berasa sedih, kesal dan marah dengan apa yang berlaku di Indonesia sekarang.
Perjuangan untuk menghapuskan korupsi, kolusi dan nepotisme (KKN) yang menjadi tunjang perjuangan era Reformasi kini telah diselewengkan.
"Bahkan, nepostisme kekuasaan dipertontonkan kepada kita semua secara terbuka tanpa rasa malu dan salah sama sekali,” tegas beliau.
Menurut Omi Komaria lagi, apa yang berlaku akhir-akhir ini memperlihatkan bahawa"kekuasaan bisa menutup hati nurani sesorang.” Maka itu beliau menyeru agar masyarakat"tidak boleh menyerah dan harus terus bersuara untuk mencapai tujuan yang ditetapkan oleh para pendiri bangsa.”
Apa yang menyebabkan budayawan bangkit mencabar kekuasaan kali ini? Mengapa sekarang dan tidak sembilan tahun yang lalu?
Puncanya adalah keputusan Mahkamah Konstitusi (MK) yang merupakan mahkamah tertinggi Republik Indonesia. MK dalam keputusan yang dibuat pada 16 Oktober lalu telah mengekalkan batas usia calon presiden (capres) dan wakil presiden (timbalan presiden atau cawapres) kekal 40 tahun"kecuali sudah berpengalaman sebagai pejabat negara atau kepala daerah.”
Undang-undang Dasar (UUD) 1945 menetapkan usia minima capres dan cawapres adalah 40 tahun. Dengan keputusan itu membuka peluang untuk anak Presiden Jokowi, Gibran Rakabuming Raka (36 tahun) untuk menjadi running mate bagi Prabowo Subianto. Beliau kini adalah Wali Kota Solo.
Alasan yang diberikan oleh MK memang masuk akal. Dinamisme masyarakat sudah berubah. Banyak negara di dunia kini dipimpin oleh mereka di bawah 40 tahun. Jadi membataskan capres dan cawapres pada usia minima 40 tahun adalah satu ketidakadilan pada generasi muda.
Namun demikian reaksi terhadap keputusan 5-4 daripada sembilan orang hakim MK itu cukup menggegarkan.
Banyak pihak menganggap keputusan itu dibuat khusus untuk Gibran. Lebih buruk lagi adalah tuduhan nepotisme oleh sebab Presiden MK yakni Anwar Usman adalah adik ipar Jokowi.
Tidak cukup dengan itu, seorang lagi anak Jokowi, Kaesang Pengarep yang baru dua hari menjadi ahli Partai Solidariti Indonesia (PSI) telah dilantik sebagai presidennya.
Menantu Jokowi pula, Muhammad Bobby Afif Nasution adalah Wali Kota Medan yang menjabat jawatan itu sejak 26 Februari 2021. Maka itu cakap-cakap mengenai"Dinasti Jokowi” semakin lantang.
Kumpulan Rembang ini mengingatkan saya pada gerakan Manifesto Kebudayaan (MANIKEBU) pada era Orde Lama. Pada 24 Ogos 1963, sekumpulan seniman, budayawan dan wartawan menggerakkan MANIKEBU sebagai penentangan pada pengaruh Lembaga Kebudayaan Rakyat (LEKRA) yang dipengaruhi oleh komunis.
LEKRA digerakkan oleh tokoh-tokoh besar Parti Komunis Indonesia (PKI) ketika itu seperti DN Aidit, Nyoto, MS Ashar dan Agam Wispi.
Orang yang bertanggungjawab melabel karya yang pro atau anti-rakyat adalah Pramoedya Ananta Toer. Apabila Sukarno jatuh dan PKI berkubur, Pramoedya ditangkap dan dihantar ke Pulau Buru sebagai tahanan.
Pengalaman di sana menghasilkan novel-novel terbaik beliau seperti Keluarga Gerilya serta empat siri novelyang dikenal sebagai Kuartet Buru yakni Bumi Manusia, Anak Semua Bangsa, Jejak Langkah dan Rumah Kaca.
Pramoedya juga menghasilkan sebuah memoir dalam tahanan berjudul Nyanyi Sunyi Seorang Bisu. Bagaimanapun"dosa” beliau dalam LEKRA tidak dapat dimaafkan oleh komuniti kebudayaan Indonesia.
Seorang lagi seniman dan budayawan terkenal Indonesia yang menyatakan kekecewaan terhadap apa yang dianggap rekayasa (manipulasi) MK adalah Eros Djarot.
Beliau dikenal sebagai pengarah filem Tjoet Nya Dhien pada tahun 1988. Walaupun itu merupakan filem pertama arahannya tetapi filem lakonan Christine Hakim, Slamet Rahardjo dan Piet Burnama itu telah memenangi sembilan kategori Anugerah Citra termasuk Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik.
Menurut Eros, kehendak kebudayaan bangsa Indonesia ditentukan oleh UUD 1945. Rakyat berpegang pada prinsip Reformasi. Tetapi semangat itu ternyata semakin tercabar.
Indonesia menghargai seniman, budayawan, penulis dan wartawannya. Mereka pula tidak tinggal diam.
Mereka tidak gentar menyatakan pendirian walaupun mencabar kekuasaan. Goenawan sendiri menjadi bukti betapa kentalnya beliau menolak ketempangan Orde Baru melalui majalah Tempo yang dipimpinnya, puisi yang ditulisnya dan pementasan drama yang direstuinya pada zaman Suharto.
Seperti juga Allahyarham W.S. Rendra yang mengunakan puisi-puisinya sebagai protes terhadap kekuasaan, Goenawan, Eros dan banyak yang lain akan terus bersuara sebagai budayawan bertanggungjawab.
* Tan Sri Johan Jaaffar adalah Tokoh Wartawan Negara. Beliau banyak mengikuti perkembangan politik Indonesia.