Young Tigers banyak buat silap

Iklan
Barisan pemain negara meraikan jaringan yang diperoleh ketika menentang Mesir di Stadium Hoki Nasional.

MALAYSIA berjaya melunaskan misi awal dengan kejayaan membenam Mesir 4-1 dalam aksi klasifikasi kesembilan hingga ke-16 Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2023 pada Isnin.

Begitupun, The Young Tigers mensia-sia deretan peluang terhidang dalam aksi di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil itu apabila hanya menyempurnakan tiga daripada 16 pukulan sudut penalti.

Iklan
Iklan

Pengendali Malaysia, Muhamad Amin Rahim berkata, anak-anak buahnya banyak melakukan kesilapan mudah sehingga mereka gagal meraih kemenangan dengan jumlah jaringan yang besar.

"Tetapi secara keseluruhan, ada banyak kesilapan mudah daripada segi bertahan dan serangan. 16 PC (pukulan sudut penalti) terhasil tetapi tiga saja gol, ia agak teruk.

Iklan

"Jadi dalam masa sehari ini (sebelum aksi klasifikasi kesembilan hingga ke-12) kita kena perbetulkan secepat mungkin,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

Selepas Mohammad Harris Iskandar Osman menyumbat gol pembukaan menerusi gol padang seawal minit kelapan, Young Tigers memperoleh tiga lagi jaringan hasil pukulan sudut penalti.

Iklan

Muhamad Fais Harizan meledak gol kedua Malaysia pada minit ke-16 diikuti jaringan Muhammad Danish Aiman Khairil Anuar (44) dan Che Nur Aqilrullah Che Mohd Khairulzi Anwar (50).

Mesir tidak pulang 'tangan kosong' apabila berjaya memperoleh gol sagu hati menerusi jaringan Abdelmonem Basel seminit sebelum perlawanan berakhir.

"Semua pemain tidak beraksi dengan baik kerana berkemungkinan mereka mempunyai mentaliti ambil mudah. Kita tidak boleh letak mindset sebegitu.

"Saya berharap mereka bangun dan perbaiki kelemahan yang ada... bukan sahaja nama besar dalam pasukan, tetapi semua pemain,” ujar Muhamad Amin.

Dalam aksi klasifikasi kesembilan hingga ke-12 pada Rabu, Malaysia dijadualkan menentang pasukan pilihan, Belgium yang mudah membenam Kanada 12-0.