SUNGAI AIR TAWAR - Pemilik kebun dan penduduk mendakwa mereka sukar mengeluarkan hasil pertanian selepas pembinaan longkang konkrit di Kampung Sungai Apong di sini.
Seorang pemilik kebun, Mohd Najib Mat Misroh, 50, berkata, struktur longkang konkrit sepanjang 2 kilometer yang dibina Jabatan Kerja Raya (JKR) sejak setahun lalu itu lebih tinggi dan menghalang laluan masuk ke kebun.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan penduduk berdepan kesukaran setiap kali ingin memungut hasil pertanian.
"Jika dulu parit lebih rendah dan pemilik kebun tiada masalah membawa masuk kenderaan dalam kebun, tapi bila pembinaan longkang konkrit semuanya berubah dalam sekelip mata.
"Sejak pembinaan longkang konkrit, kami terpaksa meletakkan kenderaan di luar kebun dan bimbang jika berlaku perkara tidak diingini seperti kes kecurian dan sebagainya," katanya.
Seorang penduduk, Muhamad Solehan Ahmad Tajuri, 32, berkata, pembinaan longkang yang lebih tinggi hanya menyebabkan air di dalam longkang bertakung dan tidak mengalir ke parit berhampiran.
Katanya, sekiranya hujan berterusan keadaan itu mengakibatkan air dalam longkang melimpah masuk ke kawasan kebun dan kawasan kediaman penduduk.
"Keadaan bertambah teruk lebih-lebih lagi pada musim hujan ini. Air longkang bertakung dan jika hujan berterusan kawasan pekarangan rumah dimasuki air.
"Kami berharap JKR segera menangani isu ini segera termasuk memastikan saliran air dapat terus dibuang ke parit berhampiran," katanya.