IPOH - Seorang wanita maut selepas kereta dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah motosikal ditunggang seorang pelajar di Kampung Changkat Kinding dekat Tanjung Rambutan pada Selasa.
Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 59, dipercayai dalam perjalanan menghantar cucunya ke tadika berhampiran.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun, Shaharuddin Abd Ghani berkata, sepasukan lapan anggota diatur gerak ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 7.17 pagi.
"Setibanya di tempat kejadian, anggota didapati mangsa telah tersepit di bahagian sisi kereta jenis Perodua Viva yang terbalik dan anggota menggunakan pemotong hidraulik untuk mengeluarkan mangsa.
"Operasi mengeluarkan mangsa mengambil masa hampir setengah jam.
"Mangsa yang mengalami cedera parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan," katanya.
Menurut beliau, kanak-kanak perempuan berusia enam tahun tidak cedera manakala penunggang motosikal iaitu pelajar lelaki berusia 17 tahun parah.
"Remaja terbabit dihantar ke hospital menaiki ambulans untuk rawatan lanjut.
"Kanak-kanak berkenaan turut dihantar ke hospital untuk pemeriksaan. Mayat mangsa pula diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.