PASIR MAS - Kementerian Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) memperuntukkan RM20.32 juta untuk projek penstabilan tebing Sungai Kelantan di Kampung Pengkalan Pasir dekat sini.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, projek yang memakan masa selama 24 bulan itu akan bermula awal tahun hadapan.
"Tujuan projek ini dilaksanakan adalah bagi mengatasi masalah hakisan tebing Sungai Kelantan sepanjang 350 meter di sini," katanya dalam ucapan yang dibacakan oleh Setiausaha Bahagian Kanan Pengurusan NERCC, Datuk Mohd Rodzwan Mohd Baba Sakri pada
Majlis Penyerahan Projek Pelaksanaan Segera Menangani Runtuhan Tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Celagi, di sini pada Selasa.
Hadir sama Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Menurut beliau, komponen utama projek ini melibatkan pembinaan batu armour, pembinaan sistem saliran, membuang struktur penahan tebing sedia ada dan membaikpulih kerosakan jalan akibat kerja-kerja tersebut.
Ujarnya, pelaksanaan projek ini akan dapat melindungi keselamatan kira-kira 100 orang dan melibatkan 20 buah keluarga dari terdedah kepada ancaman hakisan tebing sungai dan kerugian harta benda.
Nik Nazmi memberitahu, sebagai tanda keprihatinan dalam kesiapsiagaan menghadapi fasa Monsun Timur Laut (MTL) 2023 sebanyak RM10 juta telah diperuntukkan oleh
Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan kerja-kerja kecemasan.
"Sebanyak 174 kerja-kerja kecemasan luar jangka yang melibatkan skop memulihkan sistem saliran, perparitan, memulihkan jalan, jambatan dan struktur kawalan banjir untuk pelbagai daerah telah dilaksanakan
"Kementerian dan jabatan sentiasa komited dalam memastikan semua pelaksanaan projek dilaksanakan mengikut jadual bagi memastikan kesejahteraan rakyat serta peningkatan ekonomi Kelantan," katanya.
Mengulas mengenai projek di Kampung Pohon Celagi, Nik Nazmi memberitahu, projek tersebut bernilai RM64.25 juta.