KUALA TERENGGANU - UMNO Terengganu tidak melakukan rombakan besar-besaran dalam tempoh terdekat selepas pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu (BPUNT) baharu, Datuk Rozi Mamat berkuatkuasa pada 7 Disember lalu.
Bagaimanapun, Rozi berkata, perubahan sebahagian struktur pentadbiran parti itu akan berlaku mengikut kesesuaian dan akan diputuskan secara bersama.
"Sudah tentu (berlaku rombakan) tetapi buat masa sekarang ia tidak berlaku lagi. Kita buat dalam masa terdekat ini melalui perbincangan bersama dan melihat kepada kesesuaian. Saya sendiri sebelum ini sebagai setiausaha perhubungan, apabila saya jadi pengerusi sudah tentu jawatan saya sebelum ini akan kosong.
"Akan berlaku perubahan mengikut susunan baharu. Namun, kita tidak akan buat rombakan besar, cuma kita akan melihat dari segi kesesuaian untuk mengisi kekosongan yang ada," katanya pada sidang akhbar, di sini pada Selasa.
Namun beliau tidak memperincikan peratusan mereka yang akan dikekalkan serta muka baharu yang akan diserap dalam kepimpinan UMNO Terengganu.
"Jadi, siapa yang akan berada dalam barisan kepimpinan UMNO Terengganu saya tidak boleh buat perubahan secara total dan perlu tunggu pemilihan di peringkat bahagian. Buat masa ini, kita akan isi jawatan yang perlu sahaja," katanya.
Dalam pada itu, Rozi menyatakan hasrat untuk memperbaiki beberapa masalah dalaman yang dilihat membelenggu UMNO Terengganu ketika ini sebelum mengambil langkah mengukuhkan kedudukan parti itu di Terengganu.
"Pertamanya kita perlu merapatkan silaturahim, hubungan dalam kalangan keluarga UMNO dulu baru kita melihat di luar (tarik pengundi).
"Kita selesaikan masalah rumah tangga kita dahulu. Kalau mana-mana yang pincang tu kita akan bincang bersama dan baru saya akan melihat di luar sama ada nak tarik orang muda ke, orang tua ke.
"Sebab bagi kita semuanya penting sama ada orang muda, orang tua semua penting. Penting juga untuk kita meyakinkan rakyat bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) ini masih relevan untuk membantu dan membela rakyat pada masa akan datang," katanya.
Ujar beliau, UMNO juga perlu muncul dengan wajah baharu bagi menarik lebih banyak sokongan terhadap parti itu.
"BN (Barisan Nasional) bukanlah sebuah parti baharu, kita parti yang telah berpengalaman dan telah lama. Walaupun begitu, kita perlu 'rebranding' baharu yang sesuai dengan negeri Terengganu," katanya.
Pelantikan Rozi sebagai Pengerusi UMNO Terengganu dimaklumkan Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerusi surat rasmi dikeluarkan minggu lalu.
Rozi menggantikan Ahmad Said yang juga bekas Menteri Besar Terengganu manakala Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengambil alih jawatan tersebut daripada Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Berdasarkan surat berkenaan, Ahmad Zahid berkata, pelantikan Rozi dan Onn Hafiz dibuat selaras dengan Fasal 12.5 Perlembagaan UMNO.