Lima menteri, lima timbalan menteri baharu dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan

Iklan
Anwar menunjukkan senarai Ahli-Ahli Jemaah Menteri selepas mengumumkan rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan di Bangunan Perdana Putra, di sini pada Selasa. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa mengumumkan pelantikan masing-masing lima menteri dan timbalan menteri, termasuk empat muka baharu dan penampilan semula lima bekas menteri dalam rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Pada sidang media di sini, Perdana Menteri turut mengumumkan penyusunan semula kementerian berdasarkan keperluan semasa melibatkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang kini dipecahkan kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Iklan
Iklan

Manakala, Kementerian Komunikasi dan Digital pula dipecahkan kepada masing-masing Kementerian Digital serta Kementerian Komunikasi.

Rombakan itu menyaksikan jumlah Ahli Jemaah Menteri meningkat daripada 28 kepada 31, manakala Timbalan Menteri meningkat daripada 27 kepada 29 sekali gus jumlah keseluruhan anggota pentadbiran Kerajaan Perpaduan kini adalah 60 orang.

Iklan

Menteri baharu yang dilantik ialah Ahli Parlimen Titiwangsa dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (Menteri Perladangan dan Komoditi); Ahli Parlimen Damansara dan Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo (Menteri Digital) dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Menteri Kesihatan) dan Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (Menteri Kewangan II) yang dilantik senator.

Sementara itu, Steven Sim Chee Keong yang sebelum ini Timbalan Menteri Kewangan dilantik Menteri Sumber Manusia.

Iklan

Timbalan Menteri baharu pula ialah Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), M. Kulasegaran (Jabatan Perdana Menteri - Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Ramanan Ramakrishnan (Pembangunan Usahawan dan Koperasi), Wong Kah Woh (Pendidikan) dan Dr Zulkifli Hasan (Jabatan Perdana Menteri - Hal Ehwal Agama) yang juga dilantik senator.

Rombakan itu turut menyaksikan Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar selain dua timbalan menteri Ramkarpal Singh (Jabatan Perdana Menteri - Undang-undang dan Reformasi Institusi) dan Datuk Siti Aminah Aching (Perladangan dan Komoditi) digugurkan.

Sementara itu, rombakan turut menyaksikan pertukaran portfolio menteri-menteri dan timbalan menteri sedia ada termasuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang sebelum ini menerajui Kementerian Perladangan dan Komoditi dan kini beralih ke Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam selain turut bertanggungjawab terhadap hal ehwal Sabah dan Sarawak.

Menteri Pertahanan, Datuk Mohamad Hasan pula kini sebagai Menteri Luar; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai Menteri Pertahanan; Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad kini Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Turut bertukar portfolio, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Pendidikan Tinggi dan Datuk Armizan Mohd Ali daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) kini sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan pula kini dikhususkan sebagai Menteri Komunikasi sementara Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa kini adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).

Selain itu, timbalan menteri yang berubah portfolio melibatkan Lim Hui Ying (daripada Kementerian Pendidikan ke Kementerian Kewangan), Akmal Nasrullah Mohd Nasir (daripada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan ke Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam) dan Datuk Arthur Joseph Kurup (daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi ke Kemeterian Pertanian dan Keterjaminan Makanan).

Selain itu, Datuk Aiman Athirah Sabu (daripada Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ke Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan), Datuk Seri Ahmad Maslan (Kementerian Kewangan ke Kementerian Kerja Raya) dan Datuk Mohammad Yusof Apdal (daripada Kementerian Pendidikan Tinggi ke Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi).

Turut beralih protfolio, Datuk Mustapha Sakmud (daripada Kementerian Sumber Manusia ke Kementerian Pendidikan Tinggi). K. Saraswathy (daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi ke Kementerian Perpaduan) dan Datuk Chan Foong Hin (daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan ke Kementerian Perladangan dan Komoditi).

Pertukaran portfolio juga melibatkan Datuk Ugak Kumbong (daripada Jabatan Perdana Menteri - Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas ke Kementerian Digital) dan Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (daripada Kementerian Kerja Raya ke Kementerian Sumber Manusia). - Bernama