PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Barisan Jemaah Menteri baharu dan pertukaran jawatan menteri serta timbalan menteri yang diumumkan Perdana Menteri dikekalkan sehingga tamat penggal pentadbiran Kerajaan Madani.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia membolehkan tumpuan penuh diberikan kerajaan terhadap negara.
"Saya harap insya-ALLAH (kekal) sekiranya prestasi baik dan memuaskan selain tiada tekanan atau masalah baru seperti isu transformasi digital," katanya menerusi sidang akhbar rombakan Kabinet di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai sama ada kerajaan akan membuat rombakan tahunan berdasarkan prestasi semasa menteri dan timbalan menteri memandangkan perubahan itu dilakukan selepas setahun pentadbiran Kerajaan Madani.
Katanya, rombakan Kabinet dibuat bertujuan untuk memberi sedikit penyesuaian selepas setahun pentadbiran Kerajaan Madani.
"Keadaan juga perlu berubah seiring perkembangan ekonomi, permasalahan rakyat dan kos sara hidup yang harus ditangani dengan baik.
"Isu pendidikan, pendidikan tinggi terutama dalam urusan meneroka bidang baharu seperti kecerdasan pintar (AI) dan transformasi digital menyebabkan saya berfikir semula untuk membuat sedikit sebanyak penyesuaian sesuai keadaan dan tuntutan semasa," katanya.
Beliau berkata, perbincangan mengenai rombakan Kabinet itu dilakukan bersama ketua parti sebelum senarai nama dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenan.
Rombakan Kabinet menyaksikan seorang menteri dan dua timbalan menteri digugurkan iaitu bekas Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar selain Ramkarpal Singh dan Datuk Siti Aminah Aching.
Secara keseluruhan, jumlah Jemaah Menteri kini meningkat daripada 28 ke 31 orang manakala, jumlah timbalan menteri pula meningkat dari 27 ke 29 orang.
Bagaimanapun, jumlah keseluruhan Jemaah Menteri ini masih lagi rendah jika dibandingkan 70 orang barisan Kabinet pada pentadbiran sebelum ini.