TEMERLOH -"Bagaikan mimpi dapat rumah baharu lebih selesa selepas lebih 20 tahun saya, suami dan anak-anak tinggal menyewa di sebuah stor baja yang diubah suai sebagai kediaman kami anak-beranak," kata Hasmah Yaakob, 46, dari Kampung Telok Ira di sini.
Hasmah dan suaminya, Radin Galoh Ahmad, 48, menerima bantuan rumah baharu bernilai RM75,000 daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) .
Ketika ditemui sempena majlis penyerahan simbolik kunci baru-baru ini, ibu kepada empat cahaya mata berusia 3 hingga 26 tahun itu sangat bersyukur dengan bantuan tersebut.
"Saya membuat permohonan pada Januari tahun ini dan dalam tempoh beberapa bulan ia diluluskan. Proses pembinaan bermula pada Ogos dan siap pada Oktober lalu.
"Syukur kerana nasib kami mendapat perhatian MUIP dan rumah ini umpama rezeki yang sangat bernilai, Terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu," kata wanita tersebut.
Ujar Hasmah, dengan pendapatan suaminya yang tidak menentu melakukan kerja-kerja kampung, mereka tidak mampu untuk membina kediaman baharu sendiri.
Sementara itu, Pengurus Cawangan MUIP Temerloh, Mohd Faitullah Saadon memberitahu, sebanyak lima rumah baharu diluluskan pada tahun ini membabitkan kos keseluruhan RM434,000.
Ujar beliau, setakat ini empat rumah telah siap dibina dan bakinya dalam proses akhir pembinaan.
"Selain bina baharu, kita juga telah meluluskan 17 buah rumah termasuk rumah masyarakat Orang Asli untuk baik pulih membabitkan kos RM452,000 untuk tahun ini," jelas beliau lagi.