KUALA LUMPUR – Bekas ketua Kumpulan ‘Wolf Pack’ pengganas Daesh, Mahadi Mamat diperintah membela diri di Mahkamah Tinggi, di sini pada Selasa atas lapan pertuduhan termasuk berhubung aktiviti keganasan dan membuat ancaman serangan di Kuil Sri Maha Mariamman Seafiled, Subang Jaya, empat tahun lalu.
Hakim, Datuk Noorin Badaruddin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Mahadi, 38, di akhir kes pendakwaan.
Ketika menyampaikan keputusan tersebut, Noorin berkata, mahkamah berpuas hati bahawa tidak terdapat sebarang kecacatan pada pertuduhan yang dikemukakan terhadap tertuduh.
"Mahkamah berpuas hati bahawa pendakwaan berjaya mengemukakan keterangan prima facie dalam setiap pertuduhan.
"Bagi setiap elemen pertuduhan yang dibuktikan itu, jika tidak dipatahkan, ia mewajarkan sabitan terhadap tertuduh,” katanya.
Susulan itu, mahkamah memberikan lelaki itu tiga pilihan untuk membela diri iaitu pertama, memilih untuk berdiam diri atau kedua, memberi keterangan dalam kandang tertuduh secara tidak bersumpah.
Sementara pilihan ketiga ialah memberi keterangan bersumpah di kandang saksi dan boleh disoal balas.
"Saya percaya tertuduh akan membuat pilihan pada hari prosiding bela diri itu kelak,” kata hakim itu.
Sementara itu, peguam, Farida Mohammad memaklumkan, pihaknya akan memanggil seramai lima individu sebagai saksi pembelaan.
Mahkamah kemudiannya menetapkan prosiding bela diri bermula 4 dan 18 April, 27 hingga 30 Mei serta 24 Jun tahun depan.
Dalam kes ini, pendakwaan dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim dan Low Qin Hui.
Semasa di peringkat pendakwaan, seramai 24 saksi dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan kes yang bermula 14 Disember 2021 hingga 20 November lalu.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan pengetahuan telah memberi sokongan terhadap suatu perbuatan pengganas dengan membuat ancaman serangan di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mencari sokongan terhadap suatu perbuatan pengganas dengan membuat ancaman bunuh terhadap empat warga tempatan berprofil tinggi, melalui ‘WhatsApp’ ‘Sejati Sejiwa’.
Tertuduh juga didakwa telah bersetuju untuk memberi latihan dalam penggunaan senjata api kepada ahli kumpulan ‘WhatsApp’ itu dan memberi arahan untuk melakukan perbuatan pengganas kepada ahli kumpulan, iaitu bagi pertuduhan ketiga dan keempat.
Selain itu, dia didakwa atas pertuduhan kelima dengan niat untuk melakukan perbuatan pengganas, telah mendapatkan enam ‘pipe bom’ untuk melaksanakan perbuatan pengganas.
Sementara pertuduhan keenam pula, Mahadi didakwa dengan niat melakukan perbuatan pengganas, telah mendapatkan pistol semiautomatic CZ 75 B dan 15 peluru jenis ‘Luger 9mm’ untuk melaksanakan perbuatan pengganas tersebut.
Pertuduhan ketujuh pula, dia didakwa dengan pengetahuan telah merekrut beberapa orang lain untuk menyertai kumpulan ‘WhatsApp’ itu untuk melakukan suatu perbuatan pengganas.
Tertuduh juga didakwa telah memiliki item berkaitan Kumpulan pengganas Islam.
Semua kesalahan didakwa dilakukan di Kampung Teris, Hulu Terengganu, pada jam 5.45 petang dan 9.48 malam, 7 Januari 2019.
Dia didakwa melakukan kesalahan bawah Seksyen 130J (1)(b), 130F (a), 130F (b), 130JD (1), 130E (a) dan 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan.