Penjawat awam Perlis terima 'bonus' setengah bulan gaji

Iklan
Gambar hiasan

KANGAR - Kerajaan Perlis bersetuju untuk memberikan Bantuan Khas Kewangan setengah bulan gaji tertakluk minimum RM2,000 kepada semua penjawat awam negeri itu.

Semasa membentangkan Belanjawan Perlis 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks DUN di sini pada Selasa, Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli memberitahu pembayaran akan dibuat pada akhir Februari 2024.

Iklan
Iklan

"Sebagai menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam yang telah memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat, kerajaan negeri bersetuju untuk memberi Bantuan Khas Kewangan setengah bulan gaji tertakluk kepada minimum RM2,000 kepada semua penjawat awam," katanya.

Sementara itu, Mohd Shukri berkata kerajaan negeri bersetuju menambah baik kemudahan pegawai lantikan secara kontrak di bawah kerajaan negeri itu seperti cuti bersalin, cuti isteri bersalin, cuti kuarantin dan cuti hospitalisasi mulai tahun depan dan pelaksanaan inisiatif berkenaan akan memberi manfaat kepada seramai 154 pegawai lantikan kontrak.

Iklan

Selain itu, beliau berkata, tawaran kadar gaji baharu akan dilaksanakan mulai tahun depan dengan peningkatan bersesuaian melibatkan implikasi kewangan tambahan sebanyak RM93,000.

"Kerajaan negeri sentiasa cakna dan prihatin terhadap kebajikan dan motivasi semua penjawat awam yang berkhidmat di negeri ini, tidak terkecuali pegawai lantikan secara kontrak," katanya. - Bernama

Iklan