BUKIT MERTAJAM - Pelaksanaan Program Subsidi Petrol (PSP) yang dijadualkan bermula Januari 2020 ditangguhkan sehingga satu masa yang akan diumumkan kerajaan kemudian.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagaimanapun berkata, penangguhan itu bukan disebabkan mekanisme bagi program berkenaan yang dibangunkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) setahun lalu.
Sebaliknya, katanya, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet yang diadakan pada 18 Disember lalu.
Beliau bagaimanapun memberi jaminan PSP akan dilaksanakan selepas Kabinet berpuas hati dengan penerangan kepada rakyat kerana tiada masalah kepada mekanismenya.
Menurutnya, penangguhan itu akan memberi ruang kepada kerajaan untuk menggandakan usaha memberi penerangan kepada masyarakat.
"Saya telah membentangkan kertas cadangan mengenai PSP kepada jemaah menteri, kaedah dan harga subsidi yang dicadangkan iaitu 28 hingga 30 sen setiap liter diterima. Bagaimanapun, Kabinet berpendapat rakyat tidak memahami sepenuhnya program berkenaan dan wujud pelbagai persoalan dan kekeliruan.
"Ia perlu diperjelaskan secara komprehensif sebelum pelaksanaan namun tiada tempoh masa yang ditetapkan bagi proses penerangan itu," katanya kepada media selepas menghadiri Program Kembali Ke Sekolah bersama Mydin di Mydin Bukit Mertajam di sini tadi.
Terdahulu, KPDNHEP mengumumkan Mesyuarat Kabinet pada 18 Disember lalu telah memutuskan pelaksanaan PSP yang dijadualkan bermula Januari 2020 tidak diteruskan sehingga satu masa yang akan diumumkan kemudian.
Ia bagi memberi ruang untuk sesi penerangan dan penjelasan bagi memberi kefahaman dan mempersiapkan rakyat menerima pelaksanaan program PSP selain proses pendaftaran penerima daripada kelompok pertengahan 40 peratus (M40) yang akan dikendalikan oleh Kementerian Kewangan.
Saifuddin berkata, pelaksanaan PSP yang ditangguhkan bersifat ‘status quo’ sehingga jemaah menteri berpuas hati.
"Tiada masalah dengan PSP ini kerana semuanya kita sudah lengkapkan. Kita sudah bangunkan sistem data penerima lengkap dengan nombor akaun, kaedah bayaran malah kami juga sudah mengadakan simulasi bersama Jabatan Statistik tetapi kita terima keputusan Kabinet.
"Kita tidak kecewa dengan keputusan penangguhan PSP ini walaupun semua persiapan telah dilakukan sejak awal tahun ini. Semua pihak akan terus menikmati harga subsidi sedia ada iaitu 30 sen seliter bagi petrol RON95.
"Oleh itu, tiada mana-mana pihak yang patut kecewa atau rugi kerana masih menikmati harga subsidi kerajaan," katanya.
Pada 7 Oktober lalu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PSP bermula Januari 2020 sesuai dengan manifesto Pakatan Harapan dengan peruntukan RM2.4 bilion pada Belanjawan 2020 yang memanfaatkan lapan juta penerima dari kelompok B40 dan M40.
Mereka yang layak akan diberikan subsidi petrol sebanyak RM30 sebulan untuk pemilik kereta atau RM12 sebulan untuk pemilik motosikal yang disalurkan dalam bentuk pemindahan tunai dan dikreditkan terus ke akaun bank penerima setiap empat bulan.
Berikutan pelaksanaan PSP itu, harga petrol RON95 akan diapungkan.
Pelaksanaan Program Subsidi Petrol (PSP) yang dijadualkan bermula Januari 2020 ditangguhkan sehingga satu masa yang akan diumumkan kerajaan kemudian.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet yang diadakan pada 18 Disember lalu.
Berikutan itu, rakyat negara ini akan terus menikmati harga petrol berdasarkan sistem sedia ada sementara menunggu pengumuman pengesahan pelaksanaan PSP.
Saifuddin menjelaskan, keputusan itu dibuat berasaskan dua faktor.
"Faktor pertama adalah bagi memberi ruang kepada kerajaan untuk meneruskan sesi penerangan dan penjelasan dengan tujuan memberi kefahaman dan mempersiapkan rakyat menerima pelaksanaan program PSP ini.
"Faktor kedua melibatkan proses pendaftaran penerima daripada kelompok M40 yang akan dikendalikan oleh Kementerian Kewangan," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Terdahulu, kerajaan pada 7 Oktober 2019 telah mengumumkan pelaksanaan PSP bermula Januari 2020 sesuai dengan manifesto Pakatan Harapan (PH).
Bagi tujuan itu, kerajaan memperuntukkan RM 2.4 bilion dalam Bajet 2020 dengan jumlah penerima manfaat seramai lapan juta orang daripada kelompok B40 dan M40.
Program subsidi petrol bersasar akan dibayar secara tunai terus ke dalam akaun bank penerima yang layak dan bukan menggunakan kad subsidi seperti yang dikatakan sebelum ini.
ARTIKEL BERKAITAN: