Peniaga didakwa terima harta curi milik warga emas lebih RM515,000

Iklan
Mohd Fairus (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Muar atas 10 pertuduhan menerima harta curi milik seorang wanita warga emas. - Foto Bernama

MUAR - Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas 10 pertuduhan menerima harta curi bernilai lebih RM515,000 milik seorang wanita warga emas, antara 2018 hingga 2019.

Mohd Fairus Md Noor, 36, didakwa secara tidak jujur menerima harta curi iaitu wang berjumlah RM515,523.80 kepunyaan Manjeet Kaur Syran Singh, 72, menerusi 10 transaksi di CIMB Bank Berhad, Jalan Sulaiman di sini, antara 21 November 2018 hingga 26 Disember 2019.

Iklan
Iklan

Wang itu didakwa berada dalam akaun CIMB Bank yang didaftarkan atas nama Mohd Fairus dan lelaki itu mengetahui serta ada sebab mempercayai bahawa harta tersebut adalah harta curi.

Pertuduhan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Iklan

Majistret Fatin Dalilah Khalid membenarkan tertuduh diikat jamin RM17,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Januari tahun depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Putera Amirool Faez Suhasi manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Nor Hafizah Abdullah. - Bernama

Iklan