KUALA LUMPUR - Rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan hari ini diharap dapat meningkatkan lagi perkhidmatan dan penyampaian kerajaan kepada rakyat selain membawa idea-idea lebih segar bagi mendepani pelbagai cabaran semasa.
Seorang pekerja swasta, Noor Abdul Aziz, 35, dari Ipoh, Perak bersetuju sedikit perubahan dilakukan dalam pentadbiran bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan yang lebih terhadap mendepani pelbagai cabaran termasuk isu kos sara hidup rakyat.
"Diharapkan mereka yang diberikan amanah ini dapat menjalankan tugas dengan sebaik mungkin dan mendengar denyut nadi rakyat," katanya.
Penjawat awam, Muhammad Adib Rahimi, 23, dari Kangar, Perlis berkata, rombakan Kabinet itu membuktikan kerajaan telus dalam pentadbiran untuk memperkasakan agenda negara dan rakyat.
"Dengan rombakan ini, menteri dan timbalan menteri yang dilantik akan melakukan yang terbaik untuk terus dikekalkan dalam barisan pentadbiran oleh Perdana Menteri,” katanya.
Pengasas Persatuan Pemimpin Belia Universiti Malaya, Lim San Shien berharap rombakan Kabinet itu dapat memperhebat perkhidmatan awam supaya berfungsi dengan lebih efektif dan mampu menyampaikan perkhidmatan unggul dan terbaik demi kebajikan rakyat.
Wakil masyarakat Siam, Mek Kedi Ichan, 48, dari Kota Bharu, Kelantan berkata, rombakan kabinet itu menunjukkan kematangan dan kewibawaan kerajaan dalam memastikan semua aspek kehidupan rakyat dapat ditangani dengan sebaik mungkin.
"Bagaimana untuk kita menangkis segala permasalahan itu pastinya memerlukan sebuah kerajaan yang kuat dan bijak menyelesaikan isu yang dihadapi tanpa mengira agama, bangsa, kaum dan perbezaan politik," katanya.
Dalam pada itu, rata-rata rakyat yang ditemui juga melahirkan keterujaan dengan penampilan semula beberapa bekas menteri yang mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini.
K Devi, 27, seorang penulis dalam bidang kesihatan dari Kuala Terengganu sangat teruja mengetahui bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad kembali menyertai Kabinet sebagai Menteri Kesihatan dan berkata, Ahli Parlimen Kuala Langat itu mempunyai rekod prestasi cemerlang dalam perkhidmatan termasuk ketika pandemik Covid-19.
"Saya percaya rekod prestasi beliau menjadi bukti dan Dr Dzulkefly menjalankan tugasnya dengan baik. Sebagai seseorang yang berkecimpung dalam bidang ini (kesihatan), kebimbangan saya terhadap rombakan Kabinet ini ialah Kementerian Kesihatan kerana baru-baru ini sistem kesihatan negara ini menghadapi pelbagai cabaran dan saya berharap Dzulkefly dapat mengambil langkah-langkah yang berkesan untuk melakukan apa yang wajar,” katanya.
Pekerja swasta, Mohd Naufal Mohd Idris, 35, dari Shah Alam, Selangor melihat susunan penampilan semula bekas menteri serta pelantikan tokoh korporat dan akademik mampu memperkuat pentadbiran kerajaan ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan pelantikan masing-masing lima menteri dan timbalan menteri, termasuk empat muka baharu dan penampilan semula lima bekas menteri dalam rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Rombakan itu menyaksikan jumlah Ahli Jemaah Menteri meningkat daripada 28 kepada 31, manakala Timbalan Menteri meningkat daripada 27 kepada 29 sekali gus jumlah keseluruhan anggota pentadbiran Kerajaan Perpaduan kini adalah 60 orang. - Bernama