Restoran mamak sorok lebih 500kg gula, minyak masak peket diserbu

Iklan
Pegawai penguat kuasa KPDN Melaka menemui minyak masak peket yang disorokkan di bahagian atas restoran mamak itu.

ALOR GAJAH - Gara-gara menggunakan minyak masak peket dalam penyediaan makanan menyebabkan sebuah restoran mamak di Alor Gajah di serbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, di sini pada Selasa.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, serbuan jam 1 petang itu mendapati premis makanan berkenaan turut menyorok lebih 550 kilogram (kg) barangan bersubsidi gula pasir dan minyak peket.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemeriksaan dan risikan dilakukan selepas pihaknya menerima aduan daripada pengguna mengenai kegiatan restoran mamak itu sebelum menemui gula yang disorokkan di bahagian tangga manakala minyak masak peket disimpan di stor tingkat atas.

"Kita mendapati premis terbabit disyaki menyorok barang kawalan lebih 300 kilogram gula pasir bersubsidi dan juga 250 minyak masak peket satu kilogram.

Iklan

"Restoran itu telah melakukan kesalahan apabila gagal mengemukakan sebarang dokumen permit kebenaran menyimpan barang kawalan berjadual di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya kepada pemberita selepas serbuan itu di Pusat Perniagaan Jelatang, di sini pada Selasa.

Norena menunjukkan gula pasir subsidi yang disorokkan di bahagian tangga bangunan dalam serbuan di Alor Gajah, di sini pada Selasa.

Jelas Norena, restoran makanan ataupun kedai makan tidak dibenarkan menggunakan minyak masak peket dalam penyediaan makanan kerana barangan bersubsidi hanyalah untuk kegunaan isi rumah sahaja.

Iklan

Ujarnya, kesemua minyak masak yang dirampas itu mampu menampung kegunaan bagi 133 isi rumah di negeri ini dan bukannya bagi tujuan perniagaan.

Katanya, kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenalpasti daripada mana sumber bekalan minyak masak ini diperoleh.

"Kita juga akan memburu pihak pemborong barangan kawalan itu yang terlibat dalam kegiatan ini.

"KPDN memandang serius perkara ini dan memberi amaran kepada semua peniaga yang menggunakan atau menyimpan barang kawalan bagi kegunaan perniagaan perlu mendapatkan Lesen barangan kawalan berjadual (CSA)," katanya lagi.

Tambahnya, mereka yang mempunyai lesen CSA hanya boleh mendapatkan bekalan minyak masak daripada pemborong lesen sah.