Puncak Alam dilanda banjir kilat

Iklan
Keadaan banjir kilat di Jalan Persiaran Puncak Alam 6 di sini pada Selasa.

KUALA SELANGOR - Jalan Persiaran Puncak Alam 6 di sini dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat berterusan sejak jam 2.30 petang, Selasa.

Pengerusi Pemuafakatan Persatuan Penduduk Puncak Alam, Mohd Hanif Md Sultan berkata, keadaan itu menyebabkan laluan sepanjang kira-kira 150 meter itu digenangi air pada paras 0.3 meter.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kawasan itu kerap dilanda banjir kilat setiap kali berlakunya hujan lebat dan keadaan itu sehingga kini masih belum dapat ditangani.

"Kawasan ini selalu dilanda banjir kilat dan kita berharap masalah ini ditangani segera lebih-lebih lagi laluan itu sering digunakan pengguna kenderaan," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Iklan

Mohd Hanif berkata, masalah itu juga telah diajukan kepada pihak berwajib namun sehingga kini tiada jalan penyelesaian.

"Kita tidak mahu ada motosikal yang meredah banjir di laluan tersebut terjatuh terlanggar lubang yang boleh mengakibatkan kecederaan atau berlakunya kejadian tidak diingini," jelas beliau

Iklan

Sehubungan itu, katanya, beliau mencadangkan kepada pihak berwajib mengadakan satu perjumpaan bersama penduduk di kawasan terbabit.

Ujar beliau, penduduk berharap sesi pertemuan itu nanti membolehkan mereka menyuarakan permasalahan dihadapi sejak bertahun lamanya.

"Kita mahu masalah ini diatasi segera dan kalau boleh semua agensi kerajaan terlibat termasuk pihak industri, pemaju perumahan dan wakil penduduk dapat berbincang dan mencari penyelesaian untuk menangani masalah ini," tambah beliau.