Solar: KTMB dijangka jimat kos elektrik sehingga 30 peratus

Iklan
Hasbi

PUTRAJAYA - Pemasangan sistem solar di 15 fasiliti Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dijangka dapat menjimatkan kos elektrik sehingga 30 peratus sebulan.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, KTMB menanggung kos elektrik RM3.6 juta sebulan.

Iklan
Iklan

"Menerusi inisiatif tersebut, KTMB dapat menjimatkan kos sekitar RM9.17 juta setahun sepanjang 21 tahun," katanya menerusi sidang akhbar sempena majlis menandatangani perjanjian pemasangan solar panel antara Malakoff Corporation Bhd, KTMB, Perbadanan Aset Keretapi (RAC), di sini pada Selasa.

Menurutnya, fasa pertama pemasangan solar panel membabitkan 15 lokasi termasuk sembilan stesen kereta api, antaranya di Stesen Keretapi Batu Gajah, Stesen Keretapi Bukit Mertajam dan Stesen Keretapi Tanjong Malim selain lima depot iaitu Depot Seremban dan Kempas Baru serta satu kemudahan Park and Ride (Stesen Keretapi Kajang).

Iklan

"Sebagai permulaan, Stesen Keretapi Tanjong Malim di Perak akan menjadi lokasi perintis bagi pelaksanaan projek ini dan akan mula dipasang bermula suku pertama 2024," katanya.

Ujar beliau, jumlah kapasiti penjanaan tenaga yang disasarkan pada fasa pertama adalah sebanyak 1,426 kWp (kilowatt peak) ataupun hampir mencecah 1.5 MWp (Megawatt peak).

Iklan

"Seterusnya, RAC turut merancang fasa kedua inisiatif tenaga boleh baharu (TBB) ini di 17 lokasi lain membabitkan 16 stesen kereta api dan satu kemudahan Park & Ride di Selangor, Negeri Sembilan dan Perlis menjelang suku ketiga 2024," katanya.

Hasbi berkata, dijangkakan 25 lokasi lagi akan dipasang dengan sistem solar panel pada fasa ketiga di mana kajian kebolehlaksanaan inisiatif ini sedang dijalankan.

"TBB telah muncul sebagai satu daripada sumber penjanaan tenaga yang paling cepat berkembang dan dijangkakan akan menjadi sumber tenaga terbesar pada tahun 2040," katanya.