Kementerian baharu akan pacu agenda digital - Ahli ekonomi

Iklan
Al-Sultan Abdullah berkenan mengurniakan surat cara pelantikan jawatan sebagai Menteri Digital kepada Gobind Singh Deo pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia oleh Menteri Persekutuan di Istana Negara hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kementerian Digital yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan rombakan besar Kabinet hari ini akan membantu memacu agenda digital dengan lebih baik bukan sahaja daripada segi ekonomi tetapi juga daripada segi sosial dan tadbir urus, kata ahli ekonomi.

Profesor Ekonomi Malaysia University of Science and Technology, Dr Geoffrey Williams berkata, pendigitalan berlaku pada kadar yang sangat pantas dan dasar kerajaan juga mesti seiring untuk memaksimumkan impak ekonomi dan sosial serta memastikan akses dan penglibatan digital yang maksimum.

Iklan
Iklan

"Aktiviti ekonomi digital dan e-dagang mengembang ke semua aspek ekonomi dan hampir 80 peratus urus niaga adalah menerusi kaedah pembayaran secara elektronik iaitu e-pembayaran,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pelantikan Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo sebagai Menteri Digital baharu hari ini.

Iklan

"Jangkaan kami terhadap Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).....ia menunjukkan bahawa platform Perkongsian Ekonomi di mana kebanyakan ekonomi gig dan ekonomi digital akan menggaji sebanyak empat juta orang menjelang tahun 2030,” katanya.

Mengenai cara untuk meningkatkan ekonomi digital negara, beliau berkata kerajaan perlu mempunyai strategi dan falsafah baharu dengan mendapatkan input daripada penasihat bebas.

Iklan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membuat pengumuman rombakan kabinet awal hari ini berkata keputusan untuk memisahkan Kementerian Komunikasi dan Digital dalam rombakan Kabinet hari ini adalah untuk menangani komunikasi dan transformasi digital dengan lebih baik.

Anwar berkata, terdapat banyak kritikan terhadap kerajaan dan aspek komunikasi melalui media sosial adalah mencabar.

"... komunikasi untuk menyampaikan dan menyebarkan maklumat telah tidak begitu berkesan atau memuaskan, jadi mesti ada fokus,” kata beliau menjawab soalan mengenai sebab memisahkan portfolio digital dan komunikasi di bawah rombakan itu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, trend ekonomi digital yang semakin berkembang memerlukan peranan atau kementerian tertentu untuk menyelia dan merangka dasar yang diperlukan dalam perjalanan transformasi digital negara.

"Kami telah melihat bahawa pekerjaan gig mendapat momentum berikutan percambahan teknologi dan kami mahu memastikan peralihan itu tidak akan mengganggu dan menyediakan ekosistem yang sesuai untuk ekonomi digital supaya sejajar dengan ekonomi arus perdana.

"Ini mungkin termasuk jenis pelaburan, kumpulan bakat dan infrastruktur yang diperlukan seperti sistem pembayaran dan lain-lain untuk menyokong peralihan berkenaan," katanya.

Pengarah Program MBA dan Profesor Bersekutu Putra Business School Profesor Madya, Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ekonomi digital negara boleh dipacu melalui pelaburan kerajaan dalam infrastruktur digital, pembangunan modal insan dan menarik pelaburan berteknologi tinggi dari luar negara dan pada masa yang sama memperkasakan penggiat digital tempatan.

Pada 2 Ogos lepas, dilaporkan bahawa Malaysia telah mengambil langkah penting dalam menggerakkan negara ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi yang didayakan secara digital dan berteknologi tinggi dengan matlamat yang jelas, pelaburan yang besar dan perkongsian.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dalam ucaptama pada Hari Sektor Awam Malaysia yang diadakan pada 1 Ogos dihoskan oleh GovInsider dengan kerjasama Amazon Web Services (AWS) membentangkan bagaimana ekonomi digital Malaysia akan mencapai matlamatnya dalam menyumbang lebih daripada 25.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menjelang 2025. - Bernama