KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak termasuk kerajaan negeri yang terlibat dalam pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) perlu berganding bahu bagi memastikan projek berkenaan disiapkan mengikut jadual.
Anwar berkata, Malaysia amat komited dan menghargai kerjasama strategik dengan China terutama pelaburan dan sokongan kemahiran pembangunan infrastruktur oleh syarikat-syarikat dari republik itu.
Iklan
Iklan
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, komitmen itu dinyatakan semasa pertemuan bersama Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing serta delegasi dari China Communications Construction Company (CCCC) diketuai pengerusinya, Wang Tongzhou pagi tadi.
"CCCC merupakan kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk projek ECRL. Wang telah berkongsi pengalaman dan kemas kini semasa projek ECRL.
"Selain itu, kami turut saling bertukar pandangan mengenai ekosistem pembangunan projek-projek mega terutamanya berkaitan infrastruktur pengangkutan dalam dan antara bandar,” kata Anwar menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Anwar berkata, kunjungan delegasi berkenaan hari ini adalah susulan pertemuannya dengan Wang di Nanning, China pada September lepas. - Bernama