KPM kenal pasti punca kemerosotan PISA

Iklan
Fadhlina (kiri) ditemui pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) dan KPM di STDC Kampus Shah Alam di Seksyen 7 di sini.

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudah mengenal pasti punca Malaysia mencatatkan kemerosotan dalam purata pencapaian ketiga-tiga domain literasi dalam Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, tempoh penutupan sekolah yang panjang dengan kesan pandemik Covid-19 yang menjejaskan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dilihat sebagai antara faktor penyumbang utama kemerosotan.

Iklan
Iklan

"Yang kedua kesenjangan yang berlaku akibat kemiskinan multi dimensi, miskin peranti, miskin ruang dan peluang serta miskin akses internet.

"Jadi semua masalah dan isu itu kita tangani dan akan terus tangani termasuk dengan peluncuran dasar pendidikan digital yang pastinya konteks yang ingin dipertingkatkan dalam konsep PISA akan datang

Iklan

"Begitu juga dengan program program pengukuhan literasi dan numerasi yang memang sudah pun menjadi sebahagian gerak kerja kita sepanjang tahun ini," katanya ketika ditemui pemberita pada Selasa.

Fadhlina ditemui pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) dan KPM di STDC Kampus Shah Alam di Seksyen 7 di sini.

Iklan

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Dalam pada itu, Fadhlina turut memaklumkan sudah ada berita kejayaan dalam mengatasi kemerosotan dalam purata pencapaian dalam program berkenaan pada tahun ini.

Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak yang terbabit dapat berada dalam jalur gerak kerja yang sama untuk terus mengukuhkan pendidikan negara.

Terdahulu, hasil kajian PISA yang dilaksanakan setiap tiga tahun kecuali pada 2021 susulan pandemik itu, skor direkodkan purata pencapaian Malaysia dalam Literasi Matematik menurun sebanyak 31 mata pada kali ini, Literasi Saintifik (22) dan Literasi Bacaan (27) berbanding PISA 2018.

Keputusan pentaksiran kali ini turut menyaksikan Malaysia mencatat 52.1 peratus dalam penguasaan minimum Aras 2 hingga tertinggi Aras 6 bagi Literasi Saintifik, manakala Literasi Matematik pula 41.0 peratus dan Literasi Bacaan (41.9).

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah), Azman Adnan yang menanggung tugas Ketua Pengarah Pendidikan dilaporkan berkata, sebahagian besar daripada 81 negara peserta program anjuran Pertubuhan Pembangunan dan Kerjasama Ekonomi (OECD) itu turut merekodkan kemerosotan purata pencapaian bagi tiga domain literasi dalam PISA 2022, yang mana pandemik Covid -19 juga dilihat secara antara faktor penyumbang utama.

Beliau berkata, sebanyak 58 negara merosot dalam purata pencapaian Literasi Matematik, termasuk Amerika Syarikat (AS), Hong Kong, Indonesia, Jerman dan Kanada; begitu juga 36 negara dalam Literasi Saintifik yang merangkumi AS, Perancis, Thailand dan Finland; serta 55 negara meliputi AS, Australia, Ireland, Jerman, Kanada dan Switzerland dengan keputusan sama bagi Literasi Bacaan.

Dalam perkembangan lain, Fadhlina turut menasihati agar majlis graduasi sekolah menengah dan rendah dianjurkan mengikut kemampuan hasil perbincangan pihak sekolah dan ibu bapa.

Menurutnya, walaupun penganjuran majlis graduasi adalah mengikut autonomi pihak sekolah, namun tidak perlu berlebihan sehingga membebankan mana-mana pihak terutama ibu bapa.

"Saya fikir banyak ruang untuk ibu bapa bincang dengan sekolah dan mesti ada perbincangan yang dipersetujui secara bersama di mana program itu hendak dilaksanakan dengan mengikut kemampuan dan juga persetujuan kedua dua pihak.

"Jadi saya nasihatkan bincang dengan sekolah walaupun program sedemikian adalah mengikut autonomi sekolah, jadi kita minta pihak sekolah bincang dengan ibu bapa dalam ruang Persatuan Ibu bapa dan Guru," katanya.

Terdahulu, trend menganjurkan majlis graduasi atau majlis akhir tahun sekolah di hotel-hotel dengan bayaran mencecah ratusan ringgit dilaporkan membuatkan ramai ibu bapa mengeluh kerana membebankan mereka.