PELAKON Indonesia, Baim Wong baru sahaja bergelar bapa selepas isterinya, Paula Verhoeven selamat melahirkan bayi lelaki seberat 3.5 kilogram pada 27 Disember lepas.
Baim memilih nama Kiano Tiger Wong untuk anak sulungnya itu dan pemilihan 'Tiger' yang bermaksud harimau telah mencetuskan kontroversi dalam kalangan peminatnya.
Bagaimanapun Baim tampil menjelaskan maksud nama anaknya itu menerusi sebuah portal, Pop Mama dan berharap peminat tidak mengecamnya.
"Tiger tu orang kata nama haiwan tapi bagi saya bukan. Ia membawa maksud yang besar. Dari situ saya mahu Tiger Wong menjadi pemimpin yang bijaksana dan mampu membahagiakan semua orang.
"Saya mahu dia menjadi pemimpin sebenar seperti gabenor atau presiden,” katanya yang turut mencipta satu akaun Instagram khas buat bayi comel tersebut.
Sementara itu, nama Kiano pula bermaksud beruntung dan cerdas.
"Kiano itu beruntung dan cerdas. Maksudnya orang yang cerdas, sabar dan juga pasti ada faktor beruntung.
"Apa yang penting semua maksudnya adalah baik manakala nama ‘Wong’ diambil dari nama keluarga besar Baim," tambahnya.
Baim dan Paula yang juga seorang model dan aktres mendirikan rumah tangga pada 22 November 2018 selepas mengikat tali pertunangan sekitar Julai pada tahun sama.