SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan akan terus membantu pelajar yang tercicir akibat kemiskinan multidimensi, dalam memastikan kesenjangan murid dapat diatasi sekali gus memperbaiki pencapaian murid Malaysia dalam laporan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA), akan datang.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, melalui gerak kerja dan usaha yang dilakukan kementerian itu sejak setahun lalu, mereka telah berjaya menghasilkan beberapa kisah yang berjaya dan berharap semua pihak akan terus berada dalam jalur gerak kerja yang sama, untuk memperkukuh kualiti pendidikan negara.
Beliau berkata, antara penyumbang yang dikenal pasti kepada penurunan pencapaian itu, termasuklah penutupan sekolah dalam tempoh yang panjang akibat pandemik Covid-19 dan kemiskinan multidimensi seperti miskin peranti, akses internet ruang dan peluang untuk pendidikan.
"Semua masalah itu telah kita tangani dan akan terus kita tangani, dengan apa kita telah lakukan termasuk apabila kita luncurkan Dasar Pendidikan Digital ini, juga sebahagian yang mahu kita pertingkatkan dalam konteks PISA akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman di antara Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor dengan KPM, di sini hari ini.
Fadhlina berkata, usaha itu juga, merangkumi program pengukuhan literasi dan numerasi yang menjadi sebahagian gerak kerja KPM, sepanjang setahun ini.
Pencapaian Malaysia dalam PISA 2022 yang diumumkan minggu lalu, menunjukkan penurunan bagi tiga literasi yang ditaksir iaitu bacaan, matematik dan saintifik, berbanding skor yang diperoleh pada 2018.
Sementara itu, mengenai rungutan dalam kalangan ibu bapa berkenaan penganjuran hari graduasi sekolah yang diadakan di hotel dan melibatkan perbelanjaan yang mewah, Fadhlina berharap perbincangan diadakan di antara ibu bapa dan pihak sekolah, termasuk melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)
"Mesti kena ada perbincangan yang dipersetujui secara bersama di antara ibu bapa dan sekolah, di mana program itu diadakan mengikut kemampuan,” katanya. - Bernama