Maritim Labuan patah cubaan seludup arak bernilai RM100,000

Iklan
Izwanhadi (dua dari kiri) menunjukkan barangan yang dirampas semasa Operasi Sejahtera, Operasi Khas Kuda Laut dan Operasi Tiris 2.0 pada Selasa. - Foto: FB Maritim Malaysia

LABUAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Labuan menggagalkan cubaan menyeludup keluar 5,472 tin minuman keras pelbagai jenama yang belum dibayar cukai bernilai kira-kira RM100,000 awal pagi Selasa.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kapten Izwanhadi Idros berkata, bot peronda agensi itu yang sedang menjalankan operasi di perairan Labuan telah mengesan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan menuju ke arah Menumbok, Sabah pada 12.40 tengah malam.

Iklan
Iklan

"Insiden itu berlaku semasa Operasi Sejahtera, Operasi Khas Kuda Laut dan Operasi Tiris 2.0...bot peronda kami ternampak sebuah bot laju dan cuba mengejarnya sebagai sebahagian rutin operasi.

"Tekong bot laju tersebut bertindak meninggalkan botnya dengan terjun ke laut dan berjaya melarikan diri berhampiran hutan bakau Tanjung Klias,” katanya pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata, arak yang tidak dibayar cukai itu dipercayai cuba diseludup untuk dijual di pasaran tempatan di Sabah.

Menurutnya barangan seludup dan bot laju tersebut dirampas dan kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967. - Bernama

Iklan