SHAH ALAM - Grup Buku Karangkraf menyasarkan penjualan karya Palestin: Kemenangan Yang Dekat sebanyak 40,000 naskah untuk terbitan seterusnya.
Editor Kanan Buku Karangkraf, Sofian Resali, 41, berkata, keyakinan itu susulan potensi buku tersebut berjaya mencatat penjualan memberangsangkan, meski pun baru sahaja diterbitkan pada November lalu.
"Kita lihat sambutan orang ramai pun semakin baik dan difahamkan buku ini dicetak sebanyak 2,000 naskah, tetapi baki yang tinggal sekarang adalah 300 naskah,” katanya kepada Sinar Harian.
Terdahulu, Buku Palestin: Kemenangan Yang Dekat adalah karya baharu Penasihat Kehormat MyCare, Dr Hafidzi Mohd Noor yang menceritakan sejarah dan kisah perjuangan rakyat Palestin dalam menentang kekejaman rejim Israel.
Dalam pada itu, ujar Sofian, karya itu juga dikategorikan sebagai antara 10 buku terlaris bagi genre Islamik dan umum sempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2023 (SIBF 2023).
"Buku ini mendapat sambutan pertamanya kerana mungkin diterbitkan ketika peristiwa perjuangan Palestin ini masih berterusan.
"Kedua, kerana ia ditulis tokoh yang bukan sebarangan. Kita ada beberapa penulis lain yang nak hantar manuskrip sama tetapi kita bukan terima semuanya sebab melihat siapa penulisnya.
"Dalam buku ini, ia ditulis Dr Hafidzi di mana beliau merupakan antara tokoh yang melalui sendiri dan terlibat bersama dengan perjuangan rakyat Palestin, bahkan beliau juga pernah turun di bumi Gaza dahulu,” ujarnya.
Menurutnya, rata-rata pembaca turut memberi maklum balas positif berhubung kandungan buku berkenaan.
"Kebanyakan pembaca kata mereka suka dan faham dengan isu Palestin seperti dinyatakan dalam buku itu.
"InsyaALLAH, kita akan sentiasa kemas kini kandungan buku ini,” ujarnya.
Jelasnya, orang ramai yang berminat boleh membeli buku tersebut di kedai-kedai buku berdekatan, Karangkraf Mall atau secara dalam talian.