MALAYSIA bakal mengharungi satu lagi misi penting apabila berdepan Belgium dalam aksi klasifikasi kesembilan hingga ke-12 Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2023 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Rabu.
Skuad The Young Tigers itu wajib menang ke atas Belgium sekiranya mahu mengakhiri kejohanan kali ini di tangga kesembilan keseluruhan selepas sasaran awal layak ke suku akhir tidak kesampaian.
Pengendali Malaysia, Muhamad Amin Rahim berkata, Young Tigers mampu mengejutkan Belgium jika mereka mengikut setiap taktikal yang dirancang selain tidak mengulangi kesilapan sama ketika menentang Mesir Isnin lalu.
"Jika pemain-pemain saya mampu memberikan saingan kepada Belgium dari segi fizikal, tidak mustahil pasukan negara mampu mencatat kemenangan kerana kita memiliki kemampuan teknikal yang lebih baik.
"Pasukan saya tidak pernah lawan Belgium sebelum ini, ini adalah pertemuan pertama untuk kedua-dua pasukan. Kita jangka permainan mereka sama seperti pasukan Eropah lain, jadi perlu bersedia dari segi fizikal.
"Sekiranya kita boleh bersaing dengan mereka secara fizikal, peluang kita ada (untuk meraih kemenangan) kerana dari segi kemahiran teknikal, saya fikir kita lebih baik daripada mereka,” katanya.
Skuad Young Tigers berjaya melepasi ujian awal untuk menempatkan diri dalam kelompok sembilan hingga 12 terbaik pada kejohanan kali ini apabila melakar kemenangan 4-1 ke atas Mesir pada Isnin lalu.
Begitupun, Muhamad Amin tampak agak kecewa selepas anak-anak buahnya terlepas peluang merekodkan kemenangan besar apabila hanya mampu menyudahkan tiga daripada 16 pukulan sudut penalti.
Justeru, bekas tonggak kebangsaan itu berharap barisan pemainnya tidak lagi mensia-siakan setiap peluang yang dimiliki khususnya menerusi pukulan sudut penalti.
"Seperti yang sering saya katakan sebelum ini, apabila bersaing pada tahap ini (Piala Dunia), pemain-pemain tidak boleh membuat kesilapan yang tak sepatutnya sehingga ia merugikan pasukan,” ujarnya.
Pada sama sama, beliau berharap Young Tigers dapat menjadikan kekecewaan Belgium gagal ke suku akhir sebagai kelebihan buat mereka 'menghadiahkan' satu lagi mimpi ngeri buat skuad kendalian Jeroen Baart itu.
"Semasa Belgium tewas kepada Pakistan dalam peringkat kumpulan dan gagal ke suku akhir, mereka sangat kecewa. Mungkin kita akan gunakan ia sebagai kelebihan untuk kita bermain lebih baik berbanding mereka.
"Bagaimanapun, sekarang saya lebih risaukan pasukan sendiri selepas perlawanan dengan Mesir sebelum ini. Saya harap kita boleh teruskan misi untuk tamatkan saingan di kedudukan kesembilan,” jelasnya.
JADUAL PERLAWANAN
KLASIFIKASI 9 HINGGA 12
RABU (13 DISEMBER)
Mesir lwn Kanada, 9 pagi
Chile lwn Korea Selatan, 11:15 pagi
MALAYSIA lwn Belgium, 3 petang
Afrika Selatan lwn New Zealand, 5:15 petang
Nota: Semua perlawanan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil