SHAH ALAM - Perkongsian khas orang diselia (ODS) dari Jabatan Penjara Malaysia dijangka menjadi antara tarikan utama pengunjung sempena Program Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) Rasuah Busters 2023 pada Rabu.
Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, perkongsian itu dapat memberi impak besar kepada pengunjung kerana mereka boleh mendengar sendiri pengalaman sebenar daripada banduan jenayah kolar putih.
Ujarnya, pendedahan dan pandangan dari sudut ODS itu juga boleh memupuk nilai mesej anti rasuah kepada orang ramai tentang bahayanya gejala tersebut.
"Apa yang mustahak, sokongan Jabatan Penjara Malaysia dalam menjayakan HARA Rasuah Busters 2023 buat julung kali ini adalah lebih kepada kesedaran, iaitu untuk orang ramai sedar apakah implikasinya apabila dimasukkan ke penjara akibat kesalahan rasuah dan korupsi,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
ODS merupakan banduan atau pesalah yang menjalani hukuman di penjara atas kesalahan jenayah-jenayah tertentu.
Tambah Nik Justin, Pameran Seni Doodle Rasuah Busters dan permainan Build My Town juga antara acara yang akan menjadi tarikan pengunjung semasa HARA Rasuah Busters 2023.
"Terdapat pelbagai lukisan doodle bertemakan antirasuah yang bakal dipamerkan di reruai Rasuah Busters.
"Menariknya lukisan doodle itu dilukis oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk daripada pelukis terkenal, orang ramai dan kanak-kanak.
"Build My Town anjuran Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4 Center) pula merupakan sebuah permainan menarik di mana para pengunjung dapat merasai sendiri pengalaman sebagai seorang ahli Parlimen,” ujarnya.
Ulasnya, Grup Buku Karangkraf juga tidak ketinggalan menyediakan acara misteri bertajuk ‘Siapa Pesalah Itu?’ yang mana ia dapat memberikan pengalaman unik dan menarik kepada pengunjung HARA Rasuah Busters 2023.
Katanya, beberapa rakan sinergi Rasuah Busters turut membuka reruai sempena program tersebut termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM); Institut Integriti Malaysia (IIM); SIRIM Berhad (SIRIM); Jabatan Penjara; Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Menurutnya, buat julung kalinya juga HARA Rasuah Busters 2023 menyajikan beberapa aktiviti khas sepanjang tempoh dua hari program berkenaan diadakan termasuk SME Integrity Talk, Wacana Khas HARA 2023, Apresiasi Puisi Anti Rasuah, Kompas Khas #Rasuah Busters dan Bicara Bina Negara (IKRAM).
"Memang setiap program ini dirumus khas untuk menyampaikan objektif utama kenapa kami menganjurkan HARA Rasuah Busters 2023 untuk pertama kalinya.
"Saya ingin menjemput semua untuk datang ke Kompleks Karangkraf terutamanya pada Rabu, jam 9 pagi untuk menyaksikan secara langsung di Auditorium Karangkraf,” katanya.