Jalan 'glow in the dark' perlu di laluan kritikal

Iklan

SELEPAS Semenyih, teknologi garisan jalan raya bercahaya dalam gelap glow in the dark diteruskan di Padang Sanai, Padang Terap, Kedah sepanjang tiga kilometer dan dikategorikan yang terpanjang di negara ini.

Johor juga akan menyenaraikan dan menilai jalan raya yang bakal dinaik taraf menggunakan teknologi kejuruteraan jalan itu melalui peruntukan RM1 juta tahun depan.

Iklan
Iklan

Rata-rata pengguna jalan raya memuji inisiatif itu kerana teknologi yang memantulkan cahaya pada garisan pembahagi jalan dapat membantu dan menjamin keselamatan pemandu terutama pada waktu malam.

Penulis antara yang teruja dengan teknologi jalan raya baharu itu kerana sebagai pemandu berstatus rabun amat bergantung kepada garisan penanda jalan lebih-lebih lagi pada waktu malam.

Iklan

Memandu di jalan gelap dengan garisan pudar terutamanya dalam keadaan hujan di jalan yang tidak biasa dilalui satu masalah besar dan berisiko berlaku kemalangan bila tersasar lorong.

Bukan semua pemandu ‘bermata cerah’ justeru teknologi itu memberi satu harapan bagi golongan bermasalah penglihatan untuk pemanduan yang selesa dan lebih selamat pada masa akan datang.

Iklan

Seperti yang diketahui umum, selain faktor sikap pengguna jalan raya, keadaan jalan yang tidak sempurna juga antara penyumbang utama kes-kes kemalangan yang dilaporkan di negara ini saban tahun.

Keadaan jalan yang terlalu 'bersih' hingga garisan penanda jalan tidak kelihatan juga satu ketidaksempurnaan yang sering menimbulkan rungutan pengguna jalan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam kenyataannya sebelum ini menyebutkan, tujuh peratus atau 64 kes daripada 912 aduan membabitkan jalan kendalian agensi kementeriannya yang diterima dalam tempoh Ogos hingga September lalu melibatkan masalah garisan jalan.

Selain itu, sebuah akhbar turut mendedahkan garisan putih di jalan-jalan persekutuan dan jalan negeri di seluruh negara kebanyakan tidak mengikut piawaian yang betul.

Justeru, Pakar Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Law Teik Hua dalam kenyataannya sebelum ini menyebut, penggunaan bahan bagi garis putih jalan raya tidak boleh diambil mudah demi keselamatan pengguna.

Jelasnya, walaupun kos bagi garis putih yang boleh memantulkan cahaya lebih mahal dan berkualiti, namun penggunaan jenis tersebut amat penting bagi kawasan memerlukan selain perlu penambahbaikan dan pembaharuan terhadap garis putih.

Dalam perkara ini, kerajaan terutamanya Kementerian Kerja Raya (KKR) disaran melakukan kajian lebih terperinci supaya kualiti garisan penanda jalan raya di negara ini dapat ditambah baik dengan menaik taraf kaedah sedia ada kepada penggunaan teknologi glow in the dark di laluan-laluan kritikal terutama kawasan kemalangan.

Faktor kos mungkin menjadi hambatan kepada kerajaan untuk melaksanakannya ini kerana berdasarkan kenyataan Exco Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air dan Sumber Air serta Alam Sekitar Kedah, Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria, jalan glow in the dark yang dilaksanakan di negeri itu melibatkan peruntukan RM500,000.

Walaupun kosnya tinggi, tidak dapat tidak, sudah sampai masanya satu pendekatan baharu dilaksanakan bagi menjamin keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya di seluruh negara.

Namun begitu, Ia boleh dilaksanakan secara berperingkat mengambil kira keutamaan dan bukan projek kosmetik sebagai daya tarikan semata-mata.

Satu harapan besar kepada kerajaan dan agensi berkaitan agar garisan jalan perlu dipastikan sentiasa berada dalam keadaan baik dan jelas begitu juga dengan tanda-tanda jalan yang lain sementara menunggu kerajaan benar-benar bersedia untuk beralih kepada teknologi glow in the dark.

Tiada guna garisan glowing kalau jalan teruk.

* Nik Amirulmumin Nik Min ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Pahang.