Baja tinja ayam tidak digalakkan, undang bau busuk, penyakit - Mat Sabu

Iklan
Mohamad berucap pada Perasmian Penutupan Hari Keusahawanan dan Kokurikulum 2023 Ma'ahad Al-Ehya Asshariff di Dewan Ma'ahad Al-Ehya Asshariff Gunung Semanggol. - Foto Bernama

BAGAN SERAI - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan tidak menggalakkan penggunaan baja tinja ayam, walaupun tiada sebarang peruntukan undang-undang di bawah bidang kuasa kementerian itu yang menghalang penggunaan baja berkenaan secara meluas dalam sektor pertanian.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, hal ini kerana baja itu menyebabkan ketidakselesaan kepada orang ramai kerana berbau busuk dan berpotensi menyebabkan kelecuran sekiranya bersentuhan dengan tanaman.

Iklan
Iklan

"Penggunaan baja tinja ayam juga boleh menyebabkan jangkitan penyakit kepada manusia," katanya selepas menyempurnakan Majlis Penutup Hari Keusahawanan dan Kurikulum di Maahad Al-Ehya Assharif Gunung Semanggol di sini malam tadi, yang turut dihadiri lebih 300 tetamu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas aduan dibuat peniaga gerai makanan di sekitar Parit Haji Aman dan Parit Haji Tahir di sini berkenaan kacau ganggu lalat dan pencemaran bau ekoran penggunaan tinja ayam di sebuah kebun sayur yang diusahakan etnik Rohingya.

Mohamad (dua dari kanan) meletakkan tapak tangan sebagai gimik perasmian ketika hadir pada Penutupan Hari Keusahawanan dan Kokurikulum 2023 Ma'ahad Al-Ehya Asshariff di Dewan Ma'ahad Al-Ehya Asshariff Gunung Semanggol. - Foto Bernama

Iklan

Mohamad berkata, aduan boleh dibuat kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tindakan lanjut, dan sekiranya berlaku gangguan bau di sesuatu kawasan, maka mana-mana individu yang melaksanakan aktiviti pertanian ini boleh disiasat di bawah Seksyen 2 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

Sementara itu, mengulas kegiatan pertanian dijalankan etnik Rohingya berdekatan kedua-dua lokasi terbabit, beliau berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan lokasi berkenaan dimiliki sepenuhnya oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Iklan

"Ia merupakan kawasan rizab tali air yang dimiliki sepenuhnya oleh JPS. Tindakan sewajarnya mungkin boleh dilakukan oleh pihak berwajib berkaitan untuk melihat perkara ini dengan lebih lanjut,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, beliau berpendapat stigma negatif merupakan antara faktor yang menyumbang kepada kekurangan rakyat tempatan khususnya golongan belia menceburkan diri dalam bidang pertanian.

"Dulu, kita kata tanam sayur tidak menguntungkan, namun kita tengok etnik Rohingya dan warga Myanmar mereka sanggup terjun ke bidang ini dan berjaya... jadi, ini merupakan cabaran sebenar rakyat Malaysia kena hadapi," katanya. - Bernama