Rugi hampir RM10,000, hasrat jual kad selebriti Korea lebur

Iklan
Aalex dan Saw Yong (tiga dari kiri) menunjukkan salinan laporan yang telah dibuat di pejabat MTPN Melaka di Kota Laksamana Jaya, Melaka pada petang Selasa.

MELAKA - Hasrat seorang pelajar perempuan berusia 20 untuk mendapat wang dengan menjual koleksi kad selebriti Korea bernilai RM150 tidak kesampaian setelah mengalami kerugian apabila ditipu scammer.

Lebih malang, tindakan menjual barang tersebut pada Ogos lalu menyebabkan ibunya yang merupakan suri rumah terpaksa menanggung kerugian hampir RM10,000 selepas pihak bank didakwa gagal menyekat transaksi meskipun aduan telah dibuat.

Iklan
Iklan

Lim Saw Yong, 54, berkata, anak perempuannya itu pertama kali mengiklankan 10 keping kad artis Korea di platform atas talian sebelum dihubungi individu untuk membelinya.

Menurutnya, individu terbabit mendakwa telah membuat pembayaran, namun dia tidak memberikan bukti transaksi lalu meminta anaknya mengembalikan wang tersebut melalui satu e-mel dan pautan laman sesawang yang diberikan.

Iklan

"Tanpa rasa curiga, anak saya telah menekan pautan diberikan dan selepas itu wang berjumlah RM9,931.50 hilang dalam hanya satu transaksi sahaja.

"Disebabkan curiga saya segera menghubungi pihak bank untuk menyekat transaksi itu agar tidak berlaku namun berdepan pelbagai kesulitan ketika berurusan," katanya pada sidang akhbar di pejabat Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Melaka di Kota Laksamana Jaya di sini, pada petang Selasa.

Iklan

Saw Yong berkata, dia bagaimanapun terkejut apabila dimaklumkan pembekuan akaun hanya boleh dilakukan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum melakukan pelbagai usaha untuk mendapatkan semula wang berkenaan.

Menurutnya, dalam tempoh tersebut, dia telah membuat tiga laporan polis selain berjumpa dengan pengurus bank termasuk menulis surat aduan kepada Gabenor Bank Negara Malaysia namun tidak berhasil.

"Pihak bank memaklumkan memerlukan 45 hari untuk menyiasat perkara itu.

"Tapi pada 15 November lalu pihak bank memaklumkan mereka telah menutup kes saya dengan alasan terdapat bukti saya meluluskan transaksi tersebut itu," katanya lagi.

Jelasnya, kesal dan kecewa dengan tindakan pihak bank yang enggan membekukan transaksi dipercayai dilakukan scammer biarpun telah menghubungi pihak bank selepas kehilangan wang dalam akaun bank miliknya.

Sementara itu Yang Dipertua MTPN Melaka, Aalex Kong Sin Fatt berkata, pihaknya menerima banyak aduan sedemikian yang didakwa menghadapi masalah ketika berurusan dengan pihak bank.

Menurutnya, insiden seperti ini perlu dipandang serius kerana melibatkan institusi perbankan dan boleh menyebabkan orang awam bimbang untuk menggunakan perkhidmatan perbankan.

"Mereka yang menjadi mangsa boleh datang ke pejabat kami supaya isu ini dapat diketengahkan untuk membuka mata pihak berkuasa" katanya.