PUTRAJAYA - Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Mustapha Sakmud menggariskan 10 fokus utama yang akan dilaksanakan termasuklah memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) merentasi 12 kementerian.
Menerusi kenyataan Mustapha berkata, beliau juga akan memperkenalkan inisiatif Jejak TVET Madani.
"Inisiatif ini akan menonjolkan graduan institut pengajian tinggi (IPT) berbakat besar dalam perusahaan dan merealisasi hasil inovasi IPT dipasar secara komersial," katanya pada Rabu.
Beliau berkata, kesedaran kesihatan mental akan terus dipromosikan selain memperkasa kekuatan emosi dan spiritual pelajar.
"Pelajar dari keluarga miskin tegar dan pedalaman akan dibimbing oleh kementerian bagi memastikan mereka dapat menamatkan pengajian mengikut tempoh yang telah ditetapkan," katanya.
Ujar Mustapha, ketidakpadanan pekerjaan yang mengakibatkan guna tenaga tidak penuh turut diberi perhatian.
"Sinergi antara akademik dan industri dalam mencapai objektif Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, Ekonomi Madani, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) dan Kerangka Ekonomi Madani dengan mendasari silibus akademik yang mengutamakan pendedahan industri sebenar akan diperkasakan," katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sepanggar, Sabah berkata, akan meneruskan komitmen dan jalankan amanah sebaik mungkin di KPT di bawah pimpinan Menteri, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
"Jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas peluang untuk saya menyambung perkhidmatan di KPT selepas 12 bulan berkhidmat di Kementerian Sumber Manusia," katanya.