JURULATIH Arsenal, Mikel Arteta menganggap penampilan semula mereka ke kancah Liga Juara-Juara sebagai sesuatu yang menakjubkan dalam tempoh enam tahun.
The Gunners menutup aksi Kumpulan B dengan mengikat pendahulu liga Belanda, PSV Eindhoven 1-1 awal pagi Rabu.
Arsenal telah mengesahkan kedudukan sebagai juara kumpulan dan mara ke pusingan kalah mati selepas membelasah RC Lens 6-0 pada penghujung bulan lalu.
"Selepas enam atau tujuh tahun tidak berada dalam persaingan ini dengan pasukan yang tidak mempunyai banyak pengalaman, secara keseluruhan, saya fikir ia sangat positif,” kata Arteta.
Kali terakhir Arsenal beraksi dalam kempen berprestij Eropah itu pada musim 2016/2017 apabila mara ke saingan 16 terakhir sebelum dibelasah 1-5 dalam kedua-dua aksi oleh Bayern Munich.
"Kami bersaing dengan sangat baik.
"Saya amat menyukai pendekatan pasukan dalam setiap aksi, cara kami cuba bermain dan menguasai lawan.
"Kami mencatat beberapa keputusan besar dan meraih pengalaman berharga.
"Secara keseluruhan menamatkan saingan sebagai juara kumpulan membuatkan kami gembira,” ujar Arteta.
Dalam aksi itu, Arsenal terlebih dahulu di depan menerusi jaringan Eddie Nketiah, namun pasukan tuan rumah mengikat kedudukan lapan minit kemudian menerusi sentuhan Yorbe Vertessen.