Gagal mara pusingan 16 saingan ACL, JDT tetap berpuas hati

Iklan
JDT menewaskan BG Pathum United 4-1 dalam perlawanan saingan ACL di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puter pada malam Selasa.

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) tetap berbangga dengan persembahan pemainnya yang disifatkan memberikan aksi terbaik walaupun impian pasukan untuk mara pusingan 16 terbaik saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) tidak kesampaian.

Pengendali JDT, Esteban Solari berkata, menerusi saingan Kumpulan I, skuad Harimau Selatan berjaya mengutip sembilan mata setelah menewaskan kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai dan raih kemenangan berganda ke atas BG Pathum United.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bagi saingan ACL itu pencapaian yang baik selepas menamatkannya dengan sembilan mata.

Katanya, langkah JDT sumbang apabila tewas 0-1 kepada Kawasaki Frontale di laman sendiri menyebabkan hasrat ke pusingan seterusnya tidak kesampaian.

Iklan

"Ini diikuti dengan kekalahan 1-3 di tangan Ulsan Hyundai, namun kita berjaya menghidupkan peluang apabila menang ke atas BG Pathum dan Ulsan Hyundai ketika bermain di laman sendiri.

"Secara keseluruhan, prestasi pemain dalam kempen ACL musim ini amat menakjubkan apabila mereka memberi sehabis baik dan berjaya menyaingi kehebatan pasukan Korea Selatan dan Jepun walaupun ada keputusan tidak berpihak kepada JDT," katanya dalam sidang akhbar di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam Selasa.

Iklan

Solari berkata, kejayaan menewaskan kelab Thailand itu dengan jaringan 4-1 pada malam Selasa membuktikan kemampuan pasukan dalam kejohanan elit di rantau Asia itu.

JDT menewaskan BG Pathum United 4-1 dalam perlawanan saingan ACL di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puter pada malam Selasa.

Jelasnya, dalam pertembungan menentang pasukan terbaik Liga Thailand itu, pada awalnya JDT berdepan kesukaran setelah pasukan pelawat beraksi dengan permainan yang agresif serta taktikal yang tersusun.

Namun memasuki babak kedua katanya, JDT meningkatkan tempo permainan dan berjaya bangkit untuk meraih kemenangan ke atas kelab Thailand yang bermula apabila skuad Harimau Selatan itu dihadiahkan sepakan penalti hasil serangan bertali arus ke kubu lawan.

"Itu tidak akan terhasil jika Kita tidak menggandakan asakan. Jaringan itu meningkatkan keyakinan pemain untuk memperkemaskan serangan bagi mendapatkan gol kemenangan," katanya.

Mengulas mengenai persembahan Natxo Insa, Solari berpuas hati dengan pemain import itu yang beraksi secara konsisten pada posisi tengah setelah hampir 10 bulan tidak beraksi dalam aksi kompetitif akibat kecederaan.

"Saya berpuas hati apabila Natxo kembali mendapat sentuhan sentuhan di atas padang, sebelum ini dia tak dapat beraksi di tahap sebenar setelah bergelut dengan kecederaan," ujarnya.


BG Pathum United nekad bangkit dalam ACL tahun depan

JOHOR BAHRU - BG Pathum United menyifatkan keputusan penggunaan video bantuan pengadil (VAR) menjadi titik tolak kebangkitan Johor Darul Ta'zim (JDT) mencipta kemenangan 4-1 pada saingan peringkat kumpulan Liga Juara-juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim di sini pada malam Selasa.

Pengendali BG Pathum United, Jaturapattarapong Surachai berkata, keputusan tersebut juga menyaksikan kelab The Rabbits dari Thailand itu menutup saingan Kumpulan I tanpa merekodkan sebarang kemenangan setelah tewas dalam semua pertemuan menentang JDT, Ulsan Hyundai dan Kawasaki Frontale.

"Para pemain BG Pathum United sudah beraksi dengan baik pada babak pertama apabila membuka jaringan pada minit ke-28 hasil jaringan Igor Sergeev dan berjaya mengekang serangan pasukan tuan rumah untuk menyamakan kedudukan pada 45 minit permainan.

"Situasi pasukan kami berubah apabila pengadil perlawanan, Ma Ning membuat keputusan kontroversi dengan menghadiahkan Harimau Selatan sepakan penalti dan melayangkan kad kuning kedua kepada Danilo Alves menyebabkan mereka terpaksa beraksi dengan 10 pemain.

"Walaupun ia tidak begitu jelas kelihatan setelah melihat insiden itu, kami terpaksa menerima keputusan pengadilan dan bermain dengan 10 pemain sepanjang 40 minit di babak kedua. Keadaan ini jelas memberi kesan kepada kami," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan itu pada malam Selasa.

Beliau berkata, situasi berkenaan merupakan tugas yang sukar kerana terpaksa berdepan dengan lawan yang mempunyai jentera serangan berbisa seperti Heberty Fernandes, Bergson Da Silva dan Arif Aiman Hanapi sehingga memaksanya melakukan perubahan taktikal namun tetap sukar mengekang asakan JDT.

Jaturapattarapong ikrar untuk bangkit pada saingan ACL bagi musim depan dengan pasukan yang lebih baik serta corak dan taktikal permainan yang lebih utuh supaya berjaya melangkah lebih jauh.

Katanya, BG Pathum kurang bernasib baik pada tahun ini apabila diundi dalam kumpulan maut apabila terpaksa berentap dengan juara Liga 1 Korea (Ulsan Hyundai), naib juara Liga 1 Jepun (Kawasaki Frontale) dan JDT yang juga juara Liga Super.

"Kita memulakan dengan langkah kiri apabila kehilangan beberapa pemain utama dalam perlawanan penting. Tambahan pula kita berdepan lawan yang cukup kuat, sukar untuk kita memperoleh keputusan yang positif.

"Jadi, kami bertekad untuk bangkit semula pada musim depan dengan meningkatkan taktikal dan strategi pasukan selain memberi tumpuan penuh setiap perlawanan dalam masa sama elakkan daripada melakukan kesilapan mudah sekiranya mahu layak ke pusingan seterusnya," katanya.