Ikigai, Shikitagoi, Kaizen, Shuhari dan 'wajib menguasai bahasa Melayu'.
Orang Jerman reti berbahasa Jerman, orang Jepun reti berbahasa Jepun, orang Korea reti berbahasa Korea, takkanlah orang Malaysia tak reti berbahasa Melayu?
Itu jawapan simplistik tentang pendirian saya, walaupun in reality, isu ini sebenarnya lebih rumit.
Sebagai rakyat Malaysia berketurunan Cina, saya ramai kawan Chinese dan saya faham sebabnya ramai orang Cina enggan berbahasa Melayu sehingga tahap benci, meluat dan menolak bahasa Melayu.
Saya tak setuju dengan penolakan terhadap bahasa Melayu itu tetapi saya faham sebabnya dan akarnya.
More often than not, isu ini timbul kerana masyarakat Cina berasa dan menganggap dilayan sebagai warganegara kelas kedua.
Maka sikap benci, meluat dan menolak bahasa Melayu ialah cara 'membalas dendam'.
Mungkin pendirian saya amat berbeza dengan ramai Chinese lain, kerana perjalanan saya selama ini amat berbeza dengan Chinese lain.
Saya menganggap saya amat bernasib baik kerana tak pernah merancang, tetapi telah melalui pengalaman dan keadaan seadanya.
Saya lahir di Sabah, menerima pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan dan bergaul dengan kawan-kawan pelbagai kaum dalam suasana yang jarang terperangkap dengan polemik perkauman. Sangat sangat jarang. Hampir tidak ada.
Setibanya di Semenanjung Malaysia, walaupun menuntut ilmu di universiti swasta dan dikelilingi masyarakat Cina India sahaja, saya juga berkecimpung dalam dunia aktivisme dan politik di mana dunia aktivisme dan politik itu mengimbangi social circle saya dan memastikan saya masih stay connected dengan orang Melayu.
Orang Melayu yang saya jumpa pun semuanya baik-baik. Takde satu pun yang pernah rasis atau jahat terhadap saya.
Di alam pekerjaan, majoriti majikan saya selama ini pun orang Melayu dan mereka menjaga saya dengan baik.
So, memang takde sebab lah untuk saya membenci atau prejudis terhadap orang Melayu atau bahasa Melayu.
Itu perjalanan saya.
Tetapi untuk Chinese yang punyai pengalaman yang berbeza dengan saya, contohnya membesar tanpa bergaul dengan masyarakat Melayu, ataupun mereka punyai pengalaman buruk berurusan dengan orang Melayu, ditambah lagi setiap hari disaji dengan berita dan isu sensasi semasa tentang perkauman, maka prejudis terhadap orang Melayu dan bahasa Melayu itu pun lahir dan menebal secara semula jadi.
Point saya apa?
Sebagai individu, kita memainkan peranan besar menentukan sama ada kaum lain menerima kaum kita sendiri.
Akhlak, cara pertuturan, imej kita sendiri mempengaruhi bagaimana kaum lain memandang kaum kita.
Sekiranya saya (sebagai Cina) berlaku jahat terhadap kaum lain, maka saya akan menggalak kaum lain membenci kaum Cina, bahasa Cina, budaya Cina.
Sekiranya kaum Melayu berbuat jahat kepada Cina atau India, maka kelakuan itu juga akan menggalak kaum lain membenci kaum Melayu, bahasa Melayu dan budaya Melayu.
Dalam konteks yang lebih besar, dan dalam keadaan di mana politik sering mengakibatkan ketegangan dan perpecahan, pemimpin-pemimpin masyarakat yang sederhana (atau moderate) harus diangkat. Tak kisah lah kaum mana.
Sebab itu saya sentiasa minat dengan tokoh yang sederhana dan Malaysian. Tak kisah dia kaum mana.
Tokoh Melayu yang sederhana akan membantu masyarakat Cina India memandang positif terhadap kaum Melayu, bahasa Melayu dan budaya Melayu. Contohnya Allahyarham Tok Guru Nik Aziz.
Tokoh Cina yang sederhana akan membantu masyarakat Melayu India memandang positif terhadap kaum Cina, bahasa Cina dan budaya Cina. Contohnya Lee Chong Wei.
Sekiranya tokoh, pemimpin agama, pemimpin negara, artis, selebriti yang mempunyai imej sederhana diangkat, maka mereka yang sederhana itu akan membawa imej yang sederhana kepada kaum dia, bahasa kaum dia dan budaya kaum dia.
Seterusnya memudahkan kaum lain menerima kaum dia, bahasa kaum dia dan budaya kaum dia.
Hubungan di antara kaum menjadi lebih mesra.
Sebaliknya, sekiranya tokoh, pemimpin agama, pemimpin negara, artis, selebriti yang mempunyai imej ekstrim diangkat, maka mereka yang ekstrim itu akan membawa imej yang ekstrim kepada kaum dia, bahasa kaum dia dan budaya kaum dia.
Seterusnya menyusahkan kaum lain menerima kaum dia, bahasa kaum dia dan budaya kaum dia.
Hubungan di antara kaum menjadi lebih tegang.
Jepun merupakan salah satu contoh di mana kaum, bahasa, budaya, dan pelbagai aspek dalam teknologi dan cara hidup mereka diterima dan dijadikan model di seluruh dunia dengan jayanya.
Dan mereka berjaya melakukannya kerana selain tokoh-tokoh positif yang diangkat, majoriti besar masyarakat mereka sentiasa membawa imej yang positif kepada bangsa mereka.
Mudah kata, mereka tidak memalukan bangsa mereka sendiri dan sentiasa menjaga nama baik bangsa mereka.
Sekiranya berpeluang ke Jepun, selain melawat tourism hotspots, saya cadangkan supaya selami budaya, pemikiran, pegangan, pemahaman mereka tentang kehidupan.
Di antaranya ikigai, shikitogai, kaizen dan shuhari.
Ikigai = Pegangan untuk hidup dengan bertujuan di bumi ini.
Shikitogai = Pegangan untuk hidup sebagai seorang manusia yang berintegriti, penuh kasih sayang dan cemerlang.
Kaizen = Pegangan bahawa sedikit penambahbaikan setiap hari akan membawa kepada perubahan besar di masa depan.
Shuhari = Pegangan bahawa untuk mencapai kemahiran tinggi dan kepakaran (ri) dalam apa-apa jua bidang, perlu adanya tempoh keterbukaan hati menerima dan membelajar daripada mentor (shu) dan tempoh transisi berdikari atas kaki sendiri (ha).
Kebanyakan Japanese mengamal pegangan-pegangan ini dan ianya membawa imej positif kepada bangsa Jepun. Maka selain bahasa Jepun menjadi famous di dunia, mereka juga berjaya mengimport budaya dan pegangan mereka ke seluruh dunia.
Di Malaysia, setiap kaum mempunyai pegangan dan ajaran yang baik yang dibawa sejak turun temurun.
Maka semakin ramai Melayu/Cina/India/apa-apa kaum memegang teguh pada pegangan-pegangan positif itu, semakin cepat kaum dan bahasa dan budaya Melayu/Cina/India-apa-apa kaum diterima baik oleh kaum lain.
* Tulisan Adrian Lim Chee En dipetik daripada Facebook rasmi beliau.