KUALA LUMPUR - Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi menyelar Israel dan Amerika Syarikat (AS) berhubung peperangan yang berlaku di Semenanjung Gaza yang sehingga kini telah mengorbankan lebih 18,000 nyawa rakyat Palestin.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, tindakan veto oleh AS untuk membatalkan draf resolusi gencatan senjata kemanusiaan di Gaza semasa mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNSC) merupakan perkara biasa bagi negara Uncle Sam itu.
Ini kerana kata Dr Mahathir, AS diasaskan atas pembunuhan beramai-ramai penduduk asli Amerika Utara dan hal itu tidak seharusnya dilupakan.
"Tidak dapat digambarkan kengerian yang menimpa Gaza akibat pembunuhan beramai-ramai oleh Israel. Zionis mendakwa mereka menghukum rakyat Palestin kerana pada 7 Oktober Hamas telah melancarkan serangan dan mengakibatkan 1,400 rakyatnya terbunuh.
"Tetapi Israel lupa selama 70 tahun mereka telah menindas rakyat Palestin, mencuri tanah untuk mewujudkan negara Israel, mengembangkan negara mereka ke tanah Palestin, membina penempatan, menangkap dan memenjarakan ribuan rakyat Palestin tanpa bicara, menyeksa mereka, membunuh rakyat Palestin setiap hari, merampas Baitulmaqdis dan Tebing Barat.
"Rakyat Palestin telah berusaha untuk mendapatkan kembali tanah mereka malah mereka juga menerima negara Israel tetapi penindasan, pembunuhan, penodaan Al Aqsa, penahanan dan penyeksaan, pembinaan penempatan dan lain-lain masih berterusan," katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, adalah luar biasa bagi Hamas yang akhirnya melakukan keganasan untuk membalas dendam terhadap Israel dan sekalipun Hamas telah melancarkan roket terhadap Zionis, ia adalah kurang daripada apa yang pihak lain akan lakukan jika tanah mereka diduduki oleh orang lain.
Jelas beliau lagi, apa yang dikatakan hukuman terhadap rakyat Palestin adalah tidak seimbang dengan kerosakan yang dilakukan oleh Hamas.
"Sudah 18,000 penduduk Gaza telah terbunuh dengan 70 peratus daripada mereka adalah wanita dan kanak-kanak malah bayi juga tidak terlepas.
"Seluruh bandar yang mempunyai lebih sejuta penduduk telah dihancurkan ke tanah, hospital dan sekolah telah dibom, bekalan elektrik dan air terputus, makanan tidak tersedia," tegas Dr Mahathir.
Seluruh dunia, kata Dr Mahathir telah menuntut gencatan senjata di Gaza kecuali AS yang kononnya juara hak asasi manusia dan kebebasan daripada penindasan.
"Amerika Syarikat mahu Israel meneruskan pembunuhan besar-besaran rakyat Palestin bukan sahaja di Gaza, tetapi di Tebing Barat dan di Lubnan sedangkan tiada Hamas di Tebing Barat atau Lubnan. Ini bermakna Israel menentang semua rakyat Palestin.
"Mereka pasti banyak belajar daripada Nazi kerana bagi Nazi, penyelesaian terakhir adalah menyingkirkan dunia Yahudi manakala bagi Israel, penyelesaian terakhir untuk menghapuskan dunia daripada rakyat Palestin.
"Bukan hanya Hamas, satu-satunya cara untuk menamatkan perang adalah dengan membunuh semua rakyat Palestin dalam pembunuhan beramai-ramai besar-besaran," katanya.
Dr Mahathir dalam pada itu menegaskan, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu perlu mengakui bahawa menyingkirkan Hamas bukanlah penyelesaian muktamad.
Ini kerana, katanya, rakyat Palestin akan melahirkan pejuang seperti Hamas untuk memerangi Israel sekali gus menyebabkan perang akan berterusan dan membuatkan Israel tidak akan pernah aman.
"Barat juga perlu mengakui perkara ini, kita telah melihat dua perang dunia kononnya untuk menamatkan peperangan.
"Tetapi peperangan belum berakhir. Ia tidak akan berakhir kerana Amerika Syarikat sentiasa bersedia untuk peperangan, untuk membunuh orang, untuk hegemoni," tegas Dr Mahathir. - Awani