HARA Rasuah Busters: Miliki nilai keperibadian, integriti tinggi cegah rasuah

Iklan
Hussamuddin menyampaikan ucapan perasmian Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) Rasuah Busters 2023 di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu. Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB

SHAH ALAM - Hanya manusia dengan nilai keperibadian dan integriti tinggi akan dapat menyelamatkan diri daripada terjerumus ke dunia rasuah.

Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, rakyat Malaysia perlu memainkan peranan penting dengan menambah iltizam dalam diri untuk membanteras jenayah rasuah yang semakin menular dalam masyarakat.

Iklan
Iklan

"Masalah rasuah di Malaysia ini semakin parah. Kalau kita lihat kepada laporan akhbar tempatan hari ini (Rabu), Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ada menyentuh tentang keperluan kita untuk bersiap sedia menghadapi keadaan ekonomi yang lebih teruk pada tahun hadapan.

"Rentetan daripada masalah berkenaan, rakyat yang akan menghadapi kesulitan hidup. Jadi, sebagai salah satu langkah untuk mempersiapkan diri, kita sebagai rakyat Malaysia perlu bersatu hati dan berusaha ke arah membanteras rasuah,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) Rasuah Busters 2023 di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu.

Acara berkenaan diadakan buat julung kalinya dengan menyediakan pelbagai pameran dan aktiviti khas selama dua hari bagi menyampaikan mesej antirasuah serta membentuk kesedaran dalam kalangan masyarakat terutama pelajar dan peniaga tempatan.

Iklan

Program itu bermula 13 hingga 14 Disember di Kompleks Kumpulan Karangkraf melibatkan pameran daripada rakan-rakan sinergi gabungan Rasuah Busters.

Menurut Hussamuddin lagi, walaupun kerajaan memberi jaminan untuk membanteras masalah berkenaan secara terang-terangan, namun kuasa dimiliki terbatas disebabkan terikat dengan prosedur dan proses yang panjang.

"Tanpa mengira agama dan bangsa, kita perlu menitikberatkan hal ini dalam kehidupan. Kita perlu bekerjasama dan memainkan peranan masing-masing untuk mengembalikan nilai karakter bangsa.

"Kita tidak akan terpesong jika berpegang teguh kepada nilai-nilai yang diajarkan oleh agama. Gunakan kepercayaan kepada tuhan sebagai benteng dalam menentukan perkara baik atau buruk.

"Segala pemilihan yang dilakukan adalah bergantung kepada hati dan fikiran kita,” ujarnya.