SHAH ALAM - Dalam usaha membanteras jenayah rasuah, langkah berterusan daripada mana-mana persatuan atau pertubuhan perlu dilaksanakan bagi memastikan masyarakat sentiasa menyedari kepentingan memperjuangkan negara bebas korupsi.
Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Muhammad Dzul Aiman Zulkefly berkata, persatuan itu amat menitikberatkan perihal perbuatan salah laku yang melibatkan kepincangan organisasi dalam menguruskan hal-hal berkaitan kewangan.
Menurutnya, sebagai salah satu langkah untuk membanteras jenayah berkenaan, PKPIM sentiasa mencari peluang untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pertubuhan atau organisasi dalam memerangi rasuah.
"Sejak tahun 2021, PKPIM telah bekerjasama dengan Rasuah Busters dalam mengadakan bengkel di seluruh negara untuk menyebarkan kepentingan menghindari jenayah berkenaan kepada masyarakat.
"Kita juga telah menjalinkan hubungan rapat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi melaksanakan program anti rasuah untuk pertubuhan-pertubuhan belia di seluruh negara,” katanya ketika ditemui di Sambutan Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) Rasuah Busters 2023 di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu.
HARA Rasuah Busters 2023 diadakan buat julung kalinya dengan menyediakan pelbagai pameran dan aktiviti khas selama dua hari bagi menyampaikan mesej antirasuah serta membentuk kesedaran dalam kalangan masyarakat terutama pelajar dan peniaga tempatan.
Program itu berlangsung selama dua hari bermula 13 hingga 14 Disember di Kompleks Kumpulan Karangkraf melibatkan pameran daripada rakan-rakan sinergi gabungan Rasuah Busters.
Mengulas lanjut, Muhammad Dzul Aiman memaklumkan, program membanteras jenayah rasuah diadakan dalam bentuk seminar dan bengkel malah peserta yang mengikuti agenda berkenaan berpeluang untuk melihat proses pertuduhan dilaksanakan.
"PKPIM akan membawa peserta-peserta untuk datang ke SPRM di negeri masing-masing untuk melihat cara proses, sistem pertuduhan itu dilaksanakan.
"Bukan itu sahaja, kita juga mahu mendedahkan kepada mereka bahawa pesalah jenayah rasuah ini kebanyakan terdiri daripada golongan atasan, tidak terkecuali menteri, pendidik dan sebagainya,
"Pendedahan seperti ini secara tidak langsung dapat memberi kesedaran kepada mereka untuk menangani dan menolak rasuah dalam kehidupan,” ujarnya.