SHAH ALAM - Ibu kepada kanak-kanak lelaki autisme yang ditemui meninggal dunia dipercayai dibunuh minggu 6 Disember lalu, Ismanira Manaf, 27, berkongsi saat kali terakhir membawa Zayn Rayyan Abdul Matiin keluar berjalan-jalan dua hari sebelum tragedi hitam itu berlaku.
Menerusi hantaran di Instagram miliknya pada Rabu bersama gambar mereka sekeluarga yang dirakam pada 4 Disember itu, perkongsian Ismanira itu turut meruntun hati ramai pihak.
"Waktu ini Isnin minggu lepas, 4 Disember. Ini last (kali terakhir) mommy dan daddy dapat bawak abang berjalan-jalan. Abang dan adik sangat sukan jalan-jalan.
"Dapat pusing mall (pusat beli-belah) makan-makan tu memang happy (gembira) sangat-sangat lah dua beradik ni. Penat ke sibuk macam mana pun mommy dan daddy akan cuba juga bawa abang dengan adik berjalan-jalan. Happy sangat abang waktu ini,” tulisnya.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di laman Facebook Ismanira, ibu kepada dua anak itu turut berkongsi semula hantaran ‘surat cinta dari ibu’yang dimuat naik pada 2022.
Luahan hati yang dibuat itu bagi menggambarkan mengenai kehadiran Zayn Rayyan yang merupakan anak sulung banyak mengubah kehidupannya.
"Momen yang mengubah saya selamanya adalah saat anak sulung dilahirkan. Cinta untuk selamanya, anak sulungku, Zayn Rayyan,” katanya.
Zayn Rayyan dilaporkan hilang tengah hari pada 5 Disember lalu di Damansara Damai, Petaling Jaya sebelum ditemukan meninggal dunia dalam aliran anak sungai berhampiran kediamannya pada keesokannya.
Lokasi penemuan kanak-kanak malang itu hanya kira-kira 200 Meteri dari blok kediamannya di apartmen berkenaan.
Mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.
Polis kini giat memburu suspek yang terlibat dalam kes jenayah yang mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia ketika ini.