SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Tiada kajian saintifik yang menunjukkan bahawa perbuatan rasuah dikaitkan dengan sesuatu bangsa sahaja.
Pensyarah dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, perbuatan rasuah ini boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja yang tidak mempunyai nilai integriti dalam diri.
"Ini berlaku kerana perubahan persekitaran, barangkali juga disebabkan sukarnya untuk kita mencari titik persamaan kepada nilai yang sepatutnya digembleng bersama, jadi bagi saya perbuatan rasuah ini ia berlaku di mana-mana tidak mengira kaum apa sekali pun," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama 'Bicara Bina Negara: Sudah Hilangkah Maruah?' sempena sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) Rasuah Busters 2023 di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu.
Program itu menampilkan seorang lagi panelis iaitu Pengarah Pusat Kepimpinan dan Pembangunan Profesional Universiti Malaya (UM Lead), Datuk Dr Anis Yusal Yusoff, manakala Ismail Adnan bertindak selaku moderator.
Tambahnya, usaha mencegah rasuah perlu dilakukan bersama bagi memastikan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara berada di kedudukan yang lebih baik.
"Sampai bilakah kita mahu berbangga di kedudukan CPI 61, Singapura berada di tangga kelima bukankah jurangnya semakin membesar.
"Apakah yang melebarkan kedudukan tersebut, bukankah setiap daripada kita tanpa mengira agama, ras, etnik, gender, hatta fahaman politik sekali pun sepatutnya bersama dalam menangani isu ini," katanya.
Oleh itu tegasnya, sudah tiba masanya untuk kita 'memanusiakan pencegahan, merakyatkan kesedaran'.
"Kesedaran hanya timbul bermusim apabila ada program atau aktiviti dilaksanakan, tetapi akhirnya masih sukar jadi perlu juga ada keazaman politik sekurang-kurangnya dapat menurunkan indeks rasuah tetapi kita masih bergelut.
"Sebab itulah saya tekankan supaya kesedaran perlu ditingkatkan, rasuah harus dicegah," katanya.